Hong Kong buka peluang pelaburan kepada Malaysia sejajar Inisiatif Jalur dan Jalan

Fareez Azman
November 26, 2019 07:49 MYT
Timbalan Pengarah Eksekutif Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong (HKTDC) Patrick Lau dalam sidang media di ibu negara pada Selasa. - Foto Astro AWANI
Perwakilan Perniagaan dan Profesional Hong Kong mengalu-alukan penglibatan Malaysia untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan baharu di wilayah itu, sejajar dengan Inisiatif Jalur dan Jalan diantara Malaysia danChina.
Menurut Timbalan Pengarah Eksekutif Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong (HKTDC), Patrick Lau sebagai destinasi terkenal pelaburan di Asia, pelbagai sektor perniagaan berpotensi untuk diterokai di wilayah itu.
"Hong Kong sentiasa mengalu-alukan (penglibatan) destinasi perniagaan dari seluruh dunia kerana walaupun sebelum termeterai perjanjian di masa depan, kita telah menetapkan tarif sifar ke atas import dan perdagangan. Namun saya berpendapat tarikan Hong Kong untuk pelaburan sebenarnya adalah untuk mengambil kesempatan keatas Hong Kong sebagai sebuah pusat kewangan.
"Untuk lebih banyak lagi projek yang akan dijalankan oleh Malaysia mungkin memerlukan sokongan kewangan menerusi perkhidmatan kewangan Hong Kong, perkhidmatan undang-undang, pengurusan risiko dan insurans yang menawarkan bantuan untuk meningkatkan perjanjian perdagangan dan pelaburan tersebut," katanya pada sidang media selepas Seminar dan Rangkaian Perniagaan Hong Kong anjuran Biro Pembangunan Perdagangan dan Ekonomi WIlayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HSAR) dan Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong (HKTDC) di ibu negara pada Selasa.
Meskipun berdepan dengan situasi tegang penunjuk perasaan yang berlarutan sejak enam bulan lalu sehingga memberi impak terhadap ekonomi kepada wilayah itu, beliau percaya isu berkenaan akan dapat menemui penyelesaiannya.
Justeru Malaysia tambah Lau perlu merebut peluang untuk menembusi pasaran di China menerusi Kerjasama Perkongsian Ekonomi Tanah Besar China dan Hong Kong (CEPA).
"Di samping itu, apa yang Hong Kong tawarkan, adalah ruang serta pintu masuk bagi Malaysia melabur di tanah besar China. Sehingga kini, seramai 400 juta daripada penduduk di tanah besar berperdapatan sederhana dan penyumbang terbesar dalam beberapa sektor terutamanya pelancongan," ujar Lau lagi.
Antara sektor lain yang boleh diterokai iaitu sektor kewangan, pembangunan hartanah dan infrastruktur, perakaunan, pengangkutan dan logistik serta telekomunikasi.
#Asia #bantuan kewangan #China #ekonomi #Hong Kong #Jalur dan Jalan #Malaysia #Media #pelancongan #Sektor Perniagaan #Undang Undang