Organisasi multilateral seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) digesa meneroka kaedah untuk menggembleng kepakaran dan sumber mereka daripada sekadar menyediakan dana.

Kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, ia akan meningkat kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan inisiatif bagi menampung keperluan prasarana global.

Beliau turut berkongsi pengalaman Malaysia mengenai pembangunan prasarana Malaysia yang dibantu secara signifikan menerusi pengukuhan pasaran modal, institusi kewangan termasuk peranan institusi pembiayaan pembangunan seperti Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

"Malaysia juga melaksanakan pelbagai inisiatif pembiayaan swasta menerusi perkongsian awam swasta bagi mempermudah pelaburan prasarana dan pertumbuhan ekonomi," katanya pada Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan APEC (APEC FMM) ke-21, di Beijing baru-baru ini.

Ahmad Husni berkata, rantau ini benar-benar memerlukan pelaburan prasarana yang besar memandangkan ia memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi, mempromosi perhubungan dan mengurangkan kos perdagangan, pelaburan serta pergerakan penduduk.

Mengulas penubuhan Asean Infrastructure Fund (AIF), beliau berkata kewujudan institusi itu untuk membantu mengurangkan jurang pembiayaan bagi pelaburan infrastruktur di rantau ini.

"AIF mencatat perkembangan memberangsangkan dan tidak lama lagi akan mempertingkat struktur pembiayaannya untuk meliputi pelaburan daripada sektor swasta," kata Husni yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat APEC FMM selama dua hari itu.

Mengenai APEC atau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik itu, beliau berkata adalah amat penting bagi organisasi tersebut mempunyai pelan hala tuju untuk memastikan kesinambungan inisiatifnya serta terus mempertingkat kerjasama antara negara anggota.

APEC merupakan pemacu penting pertumbuhan ekonomi global dengan nilai ekonomi AS$35.8 trilion dan jumlah penduduk melebihi 2.7 bilion.