SEBAHAGIAN besar peminjam isi rumah mempunyai penampan kewangan yang mencukupi dan kekal berdaya tahan untuk menghadapi sebarang kejutan, menurut Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2021 Bank Negara Malaysia (BNM) yang diterbitkan hari ini.

Laporan itu mendapati dedahan bank kepada peminjam yang paling mudah terjejas ini dianggarkan mencakupi hanya 1.3% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.

Simulasi konservatif yang dijalankan oleh BNM menunjukkan jika berlaku kejutan pendapatan dan pengangguran, bahagian peminjam yang perlu mengeluarkan simpanan sedia ada bagi memenuhi obligasi hutang dan perbelanjaan sara hidup mereka untuk 18 bulan akan datang adalah secara relatif sederhana, iaitu antara 11% hingga 15% daripada peminjam.

"Dalam kalangan peminjam ini, mereka yang lebih berkemungkinan menghabiskan penampan tunai atau deposit, dan seterusnya paling terdedah kepada risiko, dianggarkan membentuk bahagian yang jauh lebih kecil iaitu 1.9% daripada peminjam isi rumah. 

"Kira-kira dua pertiga iaitu 65% daripada peminjam yang terdedah kepada risiko ini terdiri daripada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan. 

"Kumpulan peminjam ini juga mempunyai kadar hutang yang lebih tinggi berbanding dengan kumpulan pendapatan lain sebelum pandemik COVID-19," katanya dalam laporan berkenaan. 

Menurut BNM, aset kewangan isi rumah mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 5.4% pada Jun 2021 berbanding 7.2% pada Disember 2020.

Namun, katanya, dari segi tahap, aset kewangan agregat menguncup antara Disember 2020 hingga Jun 2021 sebanyak RM3 bilion, sebahagian besarnya didorong oleh simpanan persaraan keseluruhan yang jauh lebih rendah disebabkan oleh program i-Sinar dan i-Lestari.

"Dalam tempoh lebih panjang, pengeluaran simpanan seperti ini boleh menambahkan lagi kesukaran yang akan ditanggung oleh sesetengah isi rumah yang berkemungkinan tidak mempunyai tabungan persaraan mencukupi. 

"Bagaimanapun, dalam tempoh jangka pendek, fleksibiliti yang diberikan kepada isi rumah untuk mengeluarkan simpanan persaraan lebih awal menyediakan sumber dana tambahan bagi membantu mereka mengatasi kekangan kewangan semasa," jelasnya. 

Berdasarkan laporan itu, ia menunjukkan pertumbuhan hutang isi rumah secara amnya mampan pada akhir Jun 2021, iaitu sebanyak 5.5% berbanding Disember 2020, 5.5%, daripada tempoh yang sama pada tahun lalu walaupun lebih banyak peminjam menyambung kembali pembayaran pinjaman selepas tempoh moratorium pinjaman berakhir. 

Tetapi, trend suku tahunan menunjukkan pertumbuhan hutang isi rumah semakin sederhana sepanjang tempoh tersebut. 

Hal ini, menurut BNM, disebabkan oleh respons yang menggalakkan terhadap pemberian pelbagai insentif pemilikan rumah dan pembelian kereta pada separuh kedua 2020 semakin berkurang. 

Pembiayaan peribadi dan pinjaman kad kredit turut menurun apabila perbelanjaan pengguna terjejas akibat sekatan pergerakan.

"Pada peringkat agregat, hampir tiada tanda-tanda penurunan leveraj yang pantas oleh isi rumah, yang mencerminkan bahawa banyak isi rumah terus mempunyai keupayaan kewangan untuk menanggung hutang baharu.

"Kira-kira 70% pengeluaran pinjaman sistem perbankan baharu pada separuh pertama 2021 terus disalurkan kepada peminjam berpendapatan sederhana dan tinggi yang lebih berupaya untuk menanggung hutang baharu, dengan 40% dan 20% daripada jumlah pengeluaran pinjaman baharu masing-masinguntuk pembelian harta tanah kediaman dan kereta," jelasnya.

BNM berkata, sebahagian besar iaitu 66% hutang peminjam ini dikaitkan dengan kumpulan berpendapatan sederhana dan tinggi yang lebih berkemungkinan mampu menghadapi kejutan kewangan. 

Nisbah keseluruhan hutang isi rumah berbanding dengan KDNK berkurang kepada 89.6% tetapi masih tinggi dalam keadaan pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (DNK) nominal yang lembap.

Bagaimanapun, menurut laporan tersebut, risiko kepada kedudukan kewangan isi rumah dan potensi kerugian kepada bank akibat dedahan pinjaman perumahan kekal terurus.

Bantuan bayaran balik pinjaman oleh bank terus memberi sokongan kepada peminjam isi rumah yang menghadapi tekanan, sekali gus mengelakkan kedudukan kewangan mereka daripada menjadi lebih teruk. 

Ini seterusnya dapat mengelakkan ekonomi dan sistem kewangan daripada menjadi semakin terjejas. 

Pada akhir Jun 2021, sebanyak 12.8% daripada akaun pinjaman isi rumah, atau 16% daripada dedahan pinjaman isi rumah terkumpul berada dalam pelan bantuan bayaran balik pinjaman (Disember 2020: masing-masing 8.9% dan 11.1%). 

Peminjam yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan mencakupi dua pertiga daripada akaun pinjaman ini. 

"Walaupun akses kepada bantuan bayaran balik pinjaman menyokong keupayaan peminjam untuk membayar balik hutang buat sementara waktu, pemulihan ekonomi yang lebih mantap masih menjadi faktor penting dalam pemulihan kekukuhan kewangan peminjam dalam jangka lebih panjang," tegasnya.

Beberapa tinjauan yang dijalankan BNM baru-baru ini serta hasil pemerhatian anekdot menunjukkan bahawa kira-kira sepertiga peminjam yang memohon bantuan bayaran balik pinjaman, menggunakan bantuan ini sebahagiannya untuk membina penampan berjaga-jaga, dan sebahagian yang lebih kecil, untuk pelaburan dalam pasaran ekuiti. 

"Para peminjam ini dijangka kurang menghadapi kesukaran untuk menyambung kembali bayaran balik pinjaman mereka apabila bantuan bayaran balik pinjaman semasa ini tamat," katanya dalam laporan tersebut.

* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com