Ibu pejabat HSBC Malaysia dibuka secara rasmi di TRX

Umavathi Ramayah
Mac 7, 2022 05:08 MYT
Ibu pejabat baharu HSBC Malaysia di Menara IQ, Tun Razak Exchange (TRX) Kuala Lumpur dirasmikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Isnin. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: HSBC Malaysia secara rasminya membuka ibu pejabat baharunya di bangunan Menara IQ di pusat kewangan antarabangsa Negara di Tun Razak Exchange (TRX) di sini, pada Isnin.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pembinaan ibu pejabat negara HSBC yang baharu di TRX dilihat bakal mengukuhkan lagi rancangan pertumbuhannya serta menunjukan bukti teguh komitmen jangka panjang bank tersebut terhadap perniagaan dan pelanggannya di Malaysia.
Dengan ini, ia bakal mengantikan cawangan utama Bank HSBC di Leboh Ampang di sini, dengan sejumlah 5,000 pekerja akan ditempatkan di pejabat baharu itu.
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Stuart Milne memberitahu, perpindahan ke bangunan baharu setinggi 33 tingkat itu melibatkan pelaburan sebanyak AS$250 juta (RM1.04 bilion).
"Ini menunjukkan komitmen HSBC untuk menyediakan persekitaran kerja moden yang sesuai dengan keupayaan digital yang unggul, menyepadukan standard tertinggi bagi kelestarian alam sekitar.
"Premis baharu ini akan membolehkan pekerjanya berada dalam model baharu pekerjaan masa depan yang menawarkan peralihan ke arah gaya kerja yang lebih hibrid dan fleksibel," katanya ketika berucap di majlis perasmian ibu pejabat baharu HSBC di Menara IQ di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Milne memberitahu, pembukaan ibu pejabat baharu itu mengukuhkan komitmen HSBC untuk menggunakan kepakaran, keupayaan, keluasan dan perspektif unik kami untuk membuka peluang baharu kepada pelanggan bank tersebut di Malaysia.
Katanya, dengan memanfaatkan keterhubungan antarabangsa HSBC akan terus mengukuhkan rangkaian tawaran merentasi perbankan runcit dan korporat, dengan tumpuan khusus pada kewangan mampan dan inovasi digital, untuk terus memacu pertumbuhan perniagaan di negara ini.
TRX dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan untuk memudahcarakan transformasi ekonomi Malaysia.
Pembangunan baharu itu bakal memanfaatkan kekuatan Malaysia yang sedia ada dan kedudukan strategiknya sebagai pelengkap kepada pusat-pusat ekonomi dan kewangan lain di rantau ini.
Menara IQ direka bentuk sebagai sebuah bangunan komersial dengan pelbagai penyewa, bercirikan digital dan alam sekitar yang merangkumi elemen keseluruhan aspirasi TRX dan pembangunan komuniti di kawasan itu.
HSBC memiliki bangunan ini dan merupakan penyewa utama yang menduduki 22 tingkat. Tingkat yang selebihnya akan dipajak kepada syarikat yang menyokong ekosistem TRX seperti syarikat teknologi kewangan, kewangan dan perkhidmatan profesional.
#HSBC Malaysia #ibu pejabat baharu #Tun Razak Exchange #Menara IQ