KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Muslim Insiders bakal menganjurkan penganugerahan berprestij ‘Islamic Distinguished Entrepreneur’ (IDEA Award 2023) pada 3 November ini di Hotel St Regis Kuala Lumpur.

IDEA Award 2023 bertujuan mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada usahawan Muslim yang telah mencapai tahap keunggulan luar biasa dalam pelbagai sektor ekonomi.

Tidak ketinggalan juga untuk meraikan pemilik perniagaan bukan Islam yang mengamalkan ciri-ciri ‘Muslim-friendly businesses’.

Acara yang bakal menjadi sorotan tahunan ini akan dihadiri dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai tetamu kehormat serta barisan pemimpin konglomerat yang turut sama meraikan para usahawan Muslim berjaya. 

Anugerah berprestij ini turut memberikan peluang kepada usahawan terbaik untuk menerima pengiktirafan, dan pada masa sama, memperkukuhkan komuniti perniagaan Malaysia Madani.

Waqaf An-Nur, selaku peneraju institusi wakaf korporat yang bertindak sebagai pemangkin pembangunan industri kewangan sosial Islam, turut sama bersinergi sebagai penerima wakaf manfaat dalam majlis penganugerahan berprestij ini.

Presiden Muslim Insiders, Prof (Adj) Adam Richman berkata anugerah ini cukup unik kerana bukan sahaja mengiktiraf pencapaian dalam perniagaan, malah menilai kesediaan usahawan terbilang untuk mengabdikan dirinya kepada Allah SWT melalui perniagaan.

“Sekali gus dalam usaha memenuhi tuntutan fardhu kifayah dengan menyediakan perkhidmatan serta manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya.

Mohd Ali (kiri) dan Adam Richman (kanan) pada Majlis Anugerah World Muslimpreneur Januari lalu.

Panel juri terdiri daripada dua individu berkaliber iaitu Prof Madya Datuk Dr Izhar Ariff Mohd Kashim selaku panel syariah dan Datuk Wan Azmir Wan Majid.

“Kedua mereka  menilai pencalonan dengan teliti. Tidak ketinggalan malam kemuncak itu nanti bakal diserikan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah dan kumpulan nasyid otai, Hijjaz,” kata Adam.

Penerima anugerah akan menerima trofi dengan ukiran khat ‘Mari Menuju Kejayaan’ pada puncak trofi sebagai simbolik pencapaian cemerlang dalam jatuh bangun perniagaan.

“Kami percaya bahawa usaha ini tidak hanya memberi manfaat kepada perniagaan mereka, tetapi juga masyarakat dan ekonomi Malaysia Madani.

"Anugerah ini adalah satu langkah penting untuk menyokong pertumbuhan perniagaan komuniti Muslim yang cemerlang dan berdaya saing,” katanya lagi.