Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Idham Nawawi berundur sebagai CEO CelcomDigi, Albern Murty dilantik pemangku CEO

Bernama 20/08/2025 | 08:35 MYT
Tempoh perkhidmatan Idham (gambar) berakhir pada 31 Ogos selepas tiga tahun mengetuai pasukan pengurusan dalam tempoh awal integrasi susulan penggabungan Celcom dan Digi. - Foto CelcomDigi
KUALA LUMPUR: CelcomDigi Bhd hari ini mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Albern Murty sebagai pemangku CEO berkuat kusa 1 Sept, 2025 susulan pengunduran Datuk Idham Nawawi atas alasan peribadi.


Ringkasan AI
  • Datuk Idham Nawawi akan menamatkan perkhidmatan sebagai CEO CelcomDigi pada 31 Ogos 2025 atas alasan peribadi.
  • Albern Murty, Timbalan CEO, dilantik sebagai Pemangku CEO bermula 1 September 2025 untuk memastikan kelancaran peralihan.
  • Idham akan terus berkhidmat sebagai penasihat kepada Lembaga Pengarah sehingga 30 November 2025.


Dalam satu kenyataan, CelcomDigi berkata tempoh perkhidmatan Idham berakhir pada 31 Ogos selepas tiga tahun mengetuai pasukan pengurusan dalam tempoh awal integrasi susulan penggabungan Celcom dan Digi pada 30 Nov 2022.

Pengendali rangkaian mudah alih itu berkata Idham akan terus menyokong syarikat itu sebagai penasihat kepada lembaga pengarah sehingga 30 Nov, 2025, Albern dan barisan kepimpinan sepanjang tempoh peralihan ini.

Albern mempunyai lebih 22 tahun pengalaman dalam industri telekomunikasi, termasuk tujuh tahun sebagai CEO Digi.Com Bhd.

"Lembaga pengarah CelcomDigi akan memulakan proses pencarian rasmi bagi jawatan CEO baharu, dengan mempertimbangkan calon dalaman dan luaran bagi memastikan kepimpinan terbaik untuk membawa syarikat ke fasa seterusnya," katanya.

Idham yang menyertai Celcom Axiata Bhd (kini dikenali sebagai Celcom Bhd) pada 1 Sept 2018, berperanan menerajui transformasi syarikat, memperkukuh prestasi serta memperkenalkan cara kerja baharu.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam merancang dan memacu proses penggabungan Celcom dan Digi sehingga mendapat kelulusan pengawal selia serta penubuhan CelcomDigi.

-- BERNAMA



#CelcomDigi #Albern Murty #Idham Nawawi #Ketua Pegawai Eksekutif #pengunduran