KUALA LUMPUR: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia kepada 4.7 peratus bagi tahun ini, meningkat sebanyak 0.4 mata peratusan.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) April 2026 yang dikeluarkan hari ini, IMF juga mengunjurkan pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia pada 4.3 peratus bagi 2027.
Advertisement
Pada 2025, Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.2 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
Menerusi WEO Januari 2026 “Global Economy: Steady amid Divergent Forces”, IMF menjangkakan KDNK Malaysia bagi 2026 adalah sebanyak 4.3 peratus.
Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara empat hingga lima peratus tahun ini, dengan daya tahan domestik negara serta struktur eksport yang pelbagai terus menjadi penampan dalam menghadapi cabaran luaran semasa, terutama akibat konflik di Asia Barat.
-- BERNAMA