Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
BISNES

IMPAK BIZ lonjakan kesediaan digital PMKS Malaysia

Astro Awani 27/08/2025 | 08:30 MYT
IMPAK BIZ diyakini mampu memperkasa PMKS bukan sahaja untuk bertahan dalam pasaran, tetapi juga untuk menguasai masa depan perniagaan digital di Malaysia. - Foto Unifi Business
KUALA LUMPUR: Program IMPAK BIZ yang dibangunkan oleh Unifi Business bersama lapan rakan strategik, Astro AWANI, Bank Simpanan National (BSN), CTOS, Ipsos, Maybank Islamic, Rtist serta agensi kerajaan termasuk SME Corp dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), dilihat sebagai pemangkin baharu dalam memperkukuh transformasi digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.

Menurut Naib Presiden, Unifi Business, Dr Mohamad Yusman Ammeran, matlamat utama IMPAK BIZ adalah menilai tahap kesediaan digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebelum mereka melonjakkan penggunaan teknologi.

“Dengan ujian penilaian percuma, para usahawan PMKS dapat mengenal pasti di mana kedudukan digitalisasi perniagaan mereka, seterusnya menerima cadangan transformasi perniagaan dengan penggunaan teknologi digital sekali gus memberi impak perniagaan yang lebih kukuh, mampan dan berdaya saing," kata beliau.

Beliau berkata cabaran utama yang dihadapi PMKS adalah persaingan sengit bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di pasaran global.

“Selain itu, perubahan kehendak pelanggan dan kos operasi yang tinggi juga menjadi faktor kritikal.

“Justeru, IMPAK BIZ hadir untuk membantu PMKS mengukur kesediaan digital mereka dalam empat aspek utama: Interaksi pelanggan, kecekapan operasi, penggunaan data, kecerdasan buatan (AI), serta strategi digital,” jelas beliau.

Dr Yusman menegaskan bahawa dengan laporan yang lebih sistematik, PMKS berpeluang memperoleh sokongan kewangan, akses latihan, serta strategi perniagaan yang lebih tersusun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, CTOS Data Systems, Lee Shin Mei berkata, asas kewangan digital adalah faktor kritikal yang sering dipandang ringan oleh PMKS.

“Kebanyakan PMKS tidak mempunyai data kewangan yang lengkap kerana masih bergantung kepada proses manual.

“Dengan adanya laporan digital yang lebih baik, mereka bukan sahaja lebih mudah mendapatkan pembiayaan kewangan tetapi juga meningkatkan kredibiliti ketika berurusan dengan syarikat besar,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pengurusan kos dan kecekapan operasi adalah elemen penting yang akan menentukan skor penilaian IMPAK BIZ, dan seterusnya memberi laluan kepada pertumbuhan mampan.

Bagi CEO, 80:20 Empire Sdn Bhd (Agensi Unit Trust Public Mutual), Asmariza Yusoff, penggunaan teknologi digital seperti aplikasi GoBookit telah mengubah cara mereka menguruskan operasi.

“Sebelum ini, banyak masa dihabiskan untuk tugasan manual, kini dengan digitalisasi, bukan sahaja temu janji lebih mudah diuruskan, malah ada fungsi peringatan automatik yang bertindak seperti pembantu peribadi.

“Ia benar-benar memberi impak besar kepada operasi harian kami,” tambah beliau.

Katanya, walaupun bermula dengan agensi kecil, teknologi digital membantu membina asas kukuh untuk berkembang.

“Bagi usahawan kecil atau mikro, jangan takut bermula. Gunakan apa sahaja sumber digital yang ada media sosial, e-dagang, dan perisian kewangan kerana setiap langkah kecil akan memberi impak besar dalam jangka panjang,” katanya.

Dr. Yusman turut menyeru lebih daripada 1 juta PMKS di Malaysia untuk menyertai program IMPAK BIZ.

“Mereka hanya perlu masuk ke portal percuma di pautan https://biz.unifi.com.my/impakbiz/home dan menjawab 20 soalan untuk menilai tahap digital mereka.

“Skor yang diberikan akan membantu mereka mengenal pasti jurang, merangka strategi, dan akhirnya mencapai tahap cemerlang dalam transformasi digital,” katanya.

Dengan sokongan rakan strategik dan agensi kerajaan, IMPAK BIZ diyakini mampu memperkasa PMKS bukan sahaja untuk bertahan dalam pasaran, tetapi juga untuk menguasai masa depan perniagaan digital di Malaysia.


Impak Biz: Memacu PMKS ke era digital




#PMKS #unifi Business #usahawan