Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Indeks Indeks Pengeluaran Perindustrian dijangka sederhana sekitar 2.0 peratus pada 2025

Bernama 13/10/2025 | 07:00 MYT
Data DOSM menunjukkan IPP meningkat 4.9 peratus pada Ogos 2025, disokong oleh sektor perlombongan, manakala sektor pembuatan mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 2.8 peratus. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: MBSB Investment Bank Bhd mengunjurkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia akan berkembang sederhana sekitar dua peratus tahun ini berbanding 3.7 peratus pada 2024, berikutan permintaan luar yang perlahan dan peningkatan tarif Amerika Syarikat (AS).


Ringkasan AI
  • MBSB Investment Bank mengunjurkan pertumbuhan sederhana Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) sekitar dua peratus bagi 2025, berbanding 3.7 peratus pada 2024, disebabkan permintaan luar yang perlahan dan peningkatan tarif Amerika Syarikat.
  • Data DOSM menunjukkan IPP meningkat 4.9 peratus pada Ogos 2025, disokong oleh sektor perlombongan, manakala sektor pembuatan mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 2.8 peratus.
  • Kenanga Investment Bank menjangkakan pertumbuhan KDNK 2025 kekal pada 4.3 peratus, dengan permintaan domestik sebagai tonggak utama, namun risiko luaran seperti ketegangan perdagangan AS-China dan dasar agresif Presiden AS terus membayangi prospek suku keempat.


Bagaimanapun, bank pelaburan itu tidak menolak kemungkinan terdapat dorongan seperti aktiviti pengeluaran awal sebelum kenaikan tarif, peningkatan eksport semula dab peningkatan permintaan domestik yang terus kukuh.

"Kami menjangkakan peningkatan yang berdaya tahan dalam perbelanjaan pengguna dan aktiviti perniagaan tempatan akan terus menyokong pengeluaran produk untuk pasaran tempatan.

"Namun begitu, kami tetap berhati-hati terhadap unjuran jangka pendek berikutan kenaikan tarif yang berterusan dan kelembapab permintaan luaran yang mendadak berpotensi menjejaskan eksport dan aktiviti pengeluaran," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan IPP negara meningkat 4.9 peratus pada Ogos 2025 berbanding tempoh sama tahun lepas, disokong oleh prestasi kukuh sektor perlombongan yang melonjak 16.8 peratus (Julai 2025: 4.3 peratus).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata sektor pembuatan pula mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 2.8 peratus (Julai 2025: 4.4 peratus).

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd mengunjurkan pertumbuhan suku ketiga 2025 adalah sekitar empat peratus, meningkat sedikit berbanding 3.9 peratus pada suku sebelum ini, seiring dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan September iaitu pada paras 49.8,mencerminkan kestabilan aktiviti sektor berkenaan.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu berkata pengembangan sederhana dijangka berlaku pada suku keempat, berikutan permintaan luaran yang perlahan terutamanya disebabkan impak tarif lebih tinggi yang dikenakan AS.

"Permintaan domestik dijangka kekal menjadi tonggak sokongan utama bagi industri berasaskan pasaran tempatan. Namun, risiko luaran terus membayangi, terutamanya berikutan pendekatan perdagangan Presiden AS Donald Trump yang agresif serta ketegangan yang masih belum reda antara AS dan China," menurut bank pelaburan itu.

Kenanga turut mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 pada kadar 4.3 peratus, sambil menekankan pandangan yang lebih berhati-hati bagi tempoh suku keempat tahun ini.

"Jika pertumbuhan suku ketiga 2025 kekal lebih kukuh daripada jangkaan, ia mampu memberikan sedikit ruang untuk pertumbuhan tahunan yang lebih baik," katanya.

-- BERNAMA





#ekonomi malaysia #indeks IPP #MBSB Investment Bank #DoSM