BISNES
Indeks Pelopor Malaysia catat prestasi sederhana, turun 0.5 peratus pada Julai

Mohd Uzir berkata penurunan dua digit dalam import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (-16.3 peratus) dan indeks perusahaan Bursa Malaysia (-13.4 peratus) mempengaruhi penurunan prestasi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kadar pertumbuhan tahunan Indeks Pelopor (IP) terus menyederhana pada Julai 2025, mencatatkan penurunan 0.5 peratus kepada 114.3 mata berbanding 114.9 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ringkasan AI
- IP mencatatkan penurunan tahunan sebanyak 0.5 peratus kepada 114.3 mata, dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam import logam asas dan indeks perusahaan Bursa Malaysia, namun prestasi bulanan pulih kepada 0.5 peratus disokong oleh peningkatan import semikonduktor.
- Arah aliran jangka panjang IP kekal di bawah 100.0 mata, menunjukkan ekonomi Malaysia dijangka berada pada trajektori sederhana, dengan sokongan daripada sektor yang lebih kukuh dan permintaan domestik yang stabil.
- IS meningkat 2.2 peratus kepada 129.7 mata, disokong oleh pertumbuhan positif semua komponennya, khususnya nilai caruman KWSP dan Indeks Pengeluaran Perindustrian, menandakan prestasi ekonomi semasa yang mengukuh.
"Pemulihan ini didorong oleh prestasi memberangsangkan lima daripada tujuh komponen terutamanya import benar semikonduktor (0.5 peratus)," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
IP adalah petunjuk awal mengenai titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi bagi tempoh terdekat.
Mengulas lanjut, DOSM berkata arah aliran jangka panjang terlicin pada Julai 2025, dengan IP kekal berada di bawah 100.0 mata, menandakan ekonomi Malaysia dijangka berada pada trajektori sederhana pada masa hadapan.
"Prestasi sektor yang lebih kukuh dan permintaan dalam negeri yang stabil akan meletakkan negara pada kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi cabaran global," katanya.
Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi ekonomi semasa, meningkat 2.2 peratus kepada 129.7 mata pada Julai 2025 berbanding 126.9 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan positif merentasi semua komponen IS, dengan nilai caruman benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai penyumbang utama, mencatatkan 5.4 peratus.
Pada masa yang sama, prestasi bulanan IS mengukuh sebanyak 1.2 peratus, didorong oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian dan nilai caruman benar, KWSP, masing-masing merekodkan peningkatan 0.3 peratus, kata DOSM.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami