[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
BISNES

Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia naik untuk ditutup lebih tinggi

Bernama 24/11/2025 | 12:15 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 1.21 mata atau 0.07 peratus kepada 1,618.78 daripada 1,617.57 ketika ditutup pada Jumaat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia pulih daripada penurunan terdahulu untuk ditutup lebih tinggi sedikit pada Isnin, menjejaki pergerakan positif di kebanyakan pasaran serantau di tengah-tengah optimis baharu terhadap potensi pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).


Ringkasan AI
  • Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia pulih sedikit pada Isnin, meningkat 1.21 mata atau 0.07% kepada 1,618.78, mengikuti trend positif di kebanyakan pasaran serantau dan optimis terhadap potensi pengurangan kadar faedah AS.
  • Pasaran tempatan ditutup lebih rendah sedikit selepas pulih dari penurunan, dengan saham perbankan dan perindustrian memimpin kenaikan, manakala saham bahan asas tertekan akibat keputusan kewangan suku ketiga yang lemah.
  • Jumlah dagangan saham di Bursa Malaysia meningkat ketara kepada 5.81 bilion unit bernilai RM5.24 bilion berbanding hari sebelumnya, menunjukkan peningkatan penyertaan pasaran walaupun dengan langkah berhati-hati.


Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.21 mata atau 0.07 peratus kepada 1,618.78 daripada 1,617.57 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 2.57 mata lebih tinggi pada 1,620.14 dan mencecah paras tertinggi pada 1,621.26 pada sesi awal pagi, tetapi susut kepada 1,609.88 pada sesi tengah hari sebelum kembali kukuh menjelang penutupan.

Bagaimanapun, pasaran meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 611 berbanding 533, manakala 530 kaunter tidak berubah, 1,115 tidak diniagakan dan 28 digantung dagangan.

Jumlah dagangan berkembang kepada 5.81 bilion unit berjumlah RM5.24 bilion berbanding 4.39 bilion unit berjumlah RM2.96 bilion pada Jumaat.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata indeks Asia dibuka lebih kukuh berikutan keyakinan baharu terhadap potensi penurunan kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS bulan depan, tetapi sentimen menjadi lemah menjelang petang, apabila turun naik meningkat.

Di pasaran tempatan, Mohd Sedek berkata FBM KLCI ditutup lebih rendah sedikit selepas pulih daripada penurunan pada jualan harian hampir 0.5 peratus, walaupun ia menunjukkan tanda-tanda momentum yang rapuh.

"Kaunter perbankan dan perindustrian terus menerajui kaunter untung, manakala saham bahan asas kekal di bawah tekanan berikutan keputusan kewangan suku ketiga yang lebih lemah.

"Terutamanya, jumlah dagangan meningkat dengan ketara, melebihi lima bilion saham berbanding purata biasa sekitar tiga bilion, menunjukkan peningkatan penyertaan pasaran walaupun mengambil langkah berhati-hati," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing meningkat dua sen kepada RM9.96 dan RM4.30, CIMB menambah satu sen kepada RM7.47, manakala Tenaga Nasional susut enam sen kepada RM13.04, dan IHH Health berkurang empat sen kepada RM8.08.

Dalam senarai saham paling aktif, Bumi Armada dan Zetrix masing-masing meningkat setengah sen kepada 30.5 sen dan 81.5 sen, Tanco tidak berubah pada RM1.04, NexG meningkat 1.5 sen kepada 40 sen, dan V.S. Industry naik dua sen kepada 47 sen.



Bagi kaunter paling rugi, Hong Leong Industries menokok 58 sen kepada RM14.42, Petronas Chemicals susut 33 sen kepada RM2.92, Ajinomoto berkurang 18 sen kepada RM13.60, manakala YTL Corp dan Lysaght masing-masing turun 5 sen kepada RM2.31 dan RM2.40.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 22.70 mata kepada 12,019.51, Indeks FBMT 100 menokok 23.91 mata kepada 11,794.02, dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 3.14 mata kepada 11,995.82.

Indeks FBM ACE susut 38.71 mata kepada 4,902.88 manakala Indeks FBM Mid 70 menambah 100.17 mata kepada 16,941.20.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 160.92 mata kepada 18,536.92, Indeks Tenaga menambah 1.37 mata kepada 757.33, manakala Indeks Perladangan susut 19.06 mata kepada 8,217.57, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurang 1.28 mata kepada 163.65.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.02 bilion unit berjumlah RM4.47 bilion berbanding 1.58 bilion unit bernilai RM2.37 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran berkembang kepada 3.37 bilion unit bernilai RM628.30 juta daripada 2.43 bilion unit bernilai RM446.66 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE mengukuh kepada 416.25 juta unit bernilai RM136.78 juta berbanding 379.78 juta unit bernilai RM139.96 juta Jumaat lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 330.81 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (388.89 juta), pembinaan (111.18 juta), teknologi (268.03 juta), perkhidmatan kewangan (157.71 juta), hartanah (212.90 juta), perladangan (68.91 juta), amanah pelaburan hartanah (25.76 juta), dana tertutup (47,400), tenaga (167.20 juta), penjagaan kesihatan (136.70 juta), telekomunikasi dan media (55.94 juta), pengangkutan dan logistik (36.89 juta), utiliti (58.31 juta), dan amanah perniagaan (190,100).

-- BERNAMA

#Bursa Malaysia #fbm klci #rizab persekutuan #pelaburan