BISNES

Indeks utama Bursa Malaysia ditutup kukuh, cecah paras tertinggi dalam tempoh 16 bulan

Bernama 29/12/2025 | 12:33 MYT
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 3.89 mata kepada 1,680.99, daripada 1,677.10 pada Jumaat minggu lepas. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia pulih daripada penurunan intra harinya, ditutup 0.23 peratus lebih tinggi hari ini yang mana merupakan paras tertinggi baharu dalam tempoh 16 bulan, disokong oleh permintaan kukuh institusi.


Ringkasan AI
  • Indeks Bursa Malaysia pulih 0.23 peratus, tutup pada paras tertinggi 16 bulan disokong permintaan kukuh institusi.
  • FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 3.89 mata kepada 1,680.99 pada 5 petang, berbanding 1,677.10 minggu lepas.
  • Maybank, CIMB, dan Public Bank antara kaunter yang mengalami perubahan harga, sementara Pharmaniaga dan Tanco paling aktif pada sesi dagangan tersebut.


Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 3.89 mata kepada 1,680.99, daripada 1,677.10 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran itu sebelum ini mencapai paras tertinggi 1,684.68 pada 29 Ogos 2024.

Indeks itu dibuka tinggi naik 0.21 mata kepada 1,677.31 namun kemudiannya mencatatkan trend menurun sepanjang sesi pagi, susut ke paras terendah intra harinya kepada 1,668.48.

Bagaimanapun, indeks utama itu kembali meraih momentum pada jam terakhir dagangan untuk ditutup lebih tinggi.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 646 berbanding 369, manakala 569 kaunter tidak berubah, 1,149 tidak diniagakan dan 58 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.03 bilion unit bernilai RM1.79 bilion, daripada 1.59 bilion unit bernilai RM1.29 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI dibuka pada minggu dagangan terakhir 2025 agak perlahan, mencerminkan aktiviti pasaran yang biasanya lembap pada akhir tahun.

"Indeks utama pulih daripada penurunan intra harinya dan ditutup tinggi naik 0.23 peratus pada jam terakhir dagangan, disokong oleh permintaan kukuh institusi. Dalam kalangan konstituen FBM KLCI, saham utiliti menerajui kenaikan, membantu menstabilkan pasaran memandangkan minat yang masih berhati-hati terhadap risiko," katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata jumlah dagangan kekal rendah, jauh di bawah purata tiga bilion saham setiap hari, apabila kebanyakan pelabur masih bercuti.

"Persekitaran kecairan yang lebih lembap ini adalah perkara biasa bagi tempoh akhir Disember dan bukan menunjukkan kemerosotan keadaan pasaran pendasar," katanya, sambil menambah sokongan domestik terus menyokong pasaran ketika 2025 semakin hampir melabuhkan tirainya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM10.44, CIMB menambah lapan sen kepada RM8.23, Public Bank susut satu sen kepada RM4.51, Tenaga Nasional menokok 22 sen kepada RM13.88 dan IHH susut tiga sen kepada RM8.56.

Dalam kalangan saham paling aktif, Pharmaniaga tidak berubah pada 30 sen, Tanco naik satu sen kepada RM1.14, Insight Analytics meningkat 13 sen kepada RM1.08, NexG susut tiga sen kepada 13.5 sen, dan VS Industry menambah setengah sen kepada 48 sen.

Dalam kalangan kaunter untung utama, BLD Plantation naik RM1.46 kepada RM15.88, Nestle dan Dutch Lady meningkat 70 sen setiap satu masing-masing kepada RM115.70 dan RM30.80, PLB Engineering menambah 11.5 sen kepada 91.5 sen dan Chin Hin menokok 11 sen kepada RM2.44.

Dalam kalangan saham paling rugi, Hong Leong Industries susut 16 sen kepada RM16.40, Allianz turun 14 sen kepada RM20.20, Frontken berkurangan 12 sen kepada RM4.15, Magna Prima menyusut 11.5 sen kepada 57.5 sen dan Telekom Malaysia merosot 11 sen kepada RM7.96.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 16.75 mata kepada 12,304.89, Indeks FBM Top 100 menokok 18.66 mata kepada 12,109.33 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 8.31 mata kepada 12,113.92.

Indeks FBM ACE meningkat 14.99 mata kepada 4,874.78 manakala Indeks FBM Mid 70 susut 16.63 mata kepada 16,785.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 48.61 mata kepada 19,676.99, Indeks Perladangan naik 22.60 mata kepada 8,322.12, Indeks Tenaga susut 0.85 mata kepada 764.92, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.11 mata kepada 173.92.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.13 bilion unit bernilai RM1.58 bilion daripada 1.03 bilion unit bernilai RM1.17 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran naik kepada 607.80 juta unit bernilai RM69.59 juta daripada 334.97 juta unit bernilai RM27.61 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 285.10 juta unit bernilai RM134.76 juta daripada 224.49 juta unit bernilai RM87.30 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 175.05 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (179.29 juta), pembinaan (49.62 juta), teknologi (162.56 juta), perkhidmatan kewangan (66.31 juta), hartanah (146.03 juta), perladangan (20.16 juta), amanah pelaburan hartanah (14.31 juta), dana tertutup (16,800), tenaga (82.93 juta), penjagaan kesihatan (129.11 juta), telekomunikasi dan media (27.04 juta), pengangkutan dan logistik (50.03 juta), utiliti (30.54 juta), dan amanah perniagaan (4,800).

-- BERNAMA


#Bursa Malaysia #fbm klci #pelaburan #CIMB