Industri halal catat RM118.2 bilion sehingga suku ketiga 2025

Kerajaan melalui Inisiatif Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN dan Kerjasama Rantau Antarabangs memberi penekanan terhadap kepentingan promosi perdagangan dan pelaburan berkaitan produk-produk halal. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Industri halal menyumbang 7.94 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bersamaan RM118.2 bilion dengan bilangan pengeksport halal berdaftar sebanyak 1,525 syarikat sehingga suku ketiga 2025.
Ringkasan AI
- Industri halal menyumbang 7.94% kepada KDNK Malaysia dengan nilai RM118.2 bilion, melibatkan 1,525 syarikat pengeksport halal berdaftar hingga suku ketiga 2025.
- Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 menetapkan matlamat meningkatkan nilai industri halal Malaysia kepada RM231.1 bilion menjelang 2030, dengan eksport halal RM70 bilion dan sumbangan KDNK 10.8%.
- Malaysia membangunkan 14 taman halal bertaraf dunia di bawah HALMAS, dengan pelaburan terkumpul RM16.7 bilion yang dijangka meningkat kepada RM25 bilion menjelang 2030, memperkuat ekosistem halal negara.
"Taman-taman ini dilengkapi dengan infrastruktur bertaraf dunia, kemudahan pensijilan halal serta sokongan pelaburan yang berpaksikan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).
"Sehingga kini, pelaburan terkumpul di taman-taman halal ini berjumlah RM16.7 bilion, dan disasarkan meningkat kepada RM25 bilion menjelang 2030," menurutnya dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam.
MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Hussin Ismail mengenai nilai pasaran makanan halal dan tidak halal serta usaha kerajaan dalam memperkasakan industri halal agar kekal berdaya saing di peringkat global.
Sementara itu, Senator Baharuddin Ahmad mengemukakan pertanyaan mengenai usaha kerajaan dalam memperkasa industri halal agar Perlis menjadi hab halal antarabangsa seiring dengan lokasinya yang bersempadan dengan Thailand dan menjadi pintu masuk produk halal ke pasaran ASEAN.
Dalam jawapannya, MITI berkata kerajaan melalui Inisiatif Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN dan Kerjasama Rantau Antarabangsa seperti Petumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) telah memberi penekanan terhadap kepentingan untuk promosi perdagangan dan pelaburan berkaitan produk-produk halal khususnya di Perlis.
Kerjasama tersebut turut merangkumi program perkongsian kepakaran teknikal melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) mengenai pembangunan ekosistem halal dan pensijilan halal Malaysia.
"Kerajaan turut mengutamakan pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Infrastruktur merangkumi pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP) yang menjadi pemangkin logistik halal serta perdagangan rentas sempadan," katanya.
MITI berkata CVIA yang berkeluasan 2,468 ekar sedang dibangunkan sebagai taman perindustrian bersepadu dengan kluster pembuatan halal, pembuatan hijau, automotif EEV serta tenaga boleh baharu sementara PIP dengan keluasan sebanyak 500 ekar dimajukan dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang Februari 2026.
Kerajaan negeri juga akan mewujudkan sebuah makmal pengujian pensijilan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa negeri dalam kawasan CVIA untuk memperkukuh standard pensijilan halal, mempercepat proses pensijilan dan memastikan piawaian saintifik serta halal dipatuhi dengan konsisten sekaligus memperkasakan ekosistem halal di Malaysia.
"Selain itu, program Keusahawanan dan Pensijilan Halal turut dilaksanakan bertujuan untuk mempromosikan usahawan tempatan, pematuhan proses pensijilan halal oleh syarikat di samping membantu mempertingkatkan daya saing produk," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


