KOTA BHARU: Usaha memperluas pembangunan industri kenaf di Malaysia Timur giat dijalankan di Sabah dan Sarawak melalui beberapa siri kerjasama strategik dan pembukaan ladang berskala besar.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad berkata inisiatif pembangunan di Sabah diterajui menerusi kerjasama erat dengan Sabah Land Development Bhd (SLDB).
Advertisement
Beliau berkata Jabatan Pertanian Sabah juga telah meluluskan permit import bagi kemasukan biji benih kenaf khas.
“Biji benih ini dikhususkan untuk pengedaran dan penanaman di Daerah Sook, Keningau yang mempunyai potensi keluasan tanaman sehingga 200 hektar bagi tujuan pengeluaran biji benih dan makanan ternakan.
“Sebagai langkah perintis, satu plot percubaan seluas lima hektar untuk pengeluaran makanan ternakan akan dilaksanakan dengan anak syarikat SLDB, iaitu Sabah Livestock Dairies Breeder Sdn Bhd yang dijangka bermula Mei 2026,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Bagi menyokong ekosistem industri itu di Sabah, sebuah pusat pemprosesan biji benih dan makanan ternakan turut dalam perancangan untuk dibina.
Noraini berkata pembangunan kenaf di Sarawak pula memfokuskan kepada kerjasama dengan Syarikat Juta Walet Trading and Services.
Kerjasama itu mensasarkan keluasan tanaman sebanyak 234 hektar bagi projek ladang kluster yang akan mengeluarkan fiber, biji benih dan makanan ternakan.
Beliau berkata potensi tanaman kenaf di Sarawak dijangka terus berkembang dengan anggaran keluasan 500 hektar yang meliputi kawasan Miri dan Sarikei.
Selain itu, Syarikat Texo Engineering turut meneroka potensi keluasan tanaman sebanyak 150 hektar bagi tujuan pengeluaran yang sama.
“Bagi melengkapkan rantaian nilai dan pemprosesan di Sarawak, sebuah pusat pemprosesan biji benih kenaf akan dibina di Bintulu. Ia akan disokong sebuah lagi pusat pemprosesan kenaf beroperasi di Ulu Sebauh, Bintulu,” katanya.
-- BERNAMA