KUALA TERENGGANU: Industri pelancongan dijangka menyumbang RM3 bilion untuk ekonomi Terengganu dengan sasaran kedatangan tiga juta pelancong ke negeri itu pada tahun ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Sulaiman Sulong berkata secara puratanya, kadar perbelanjaan untuk seorang pelancong ialah RM1,000 dengan purata penginapan selama tiga hari dua malam.

"Sasaran ini agak berkurangan berbanding kedatangan pelancong sebanyak RM5.2 juta yang menjana RM6 bilion untuk ekonomi Terengganu pada tahun 2019 iaitu sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

"Namun, jumlah ini adalah realistik dengan situasi semasa kerana negara baru sahaja memasuki fasa peralihan endemik dan Terengganu sedang berusaha untuk mempertingkatkan aktiviti promosi bagi menarik kedatangan pelancong," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

Beliau berkata antara inisiatif kerajaan negeri ialah dengan mengadakan kempen Jelajah Beautiful Terengganu ke beberapa destinasi luar negara antaranya Itali, Switzerland dan Jerman pada bulan lepas.

"Selain itu, kita juga memilih Kedah dan Pahang untuk mengadakan kolaborasi pelancongan domestik antara negeri dengan membawa operator pelancongan hotel, resort dan homestay ke setiap siri jelajah promosi ini. Ia akan diteruskan ke beberapa negeri terpilih dalam masa terdekat.

"Pelbagai pakej pelancongan menarik ditawarkan dalam setiap siri jelajah ini dan impaknya dapat dilihat dengan kadar tempahan penginapan di 36 hotel berdaftar di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu yang menunjukkan peningkatan sehingga 80 peratus.

"Selain itu, penganjuran beberapa program berskala besar baru-baru ini turut melonjakkan industri pelancongan Terengganu seperti Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia, Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia dan Terengganu Bike Week," katanya.

Sulaiman Sulong (tiga, kanan) bersama penggiat industri pelancongan di program jelajah Beautiful Terengganu 2022 di Kuantan, Pahang, 29 Jun 2022. - Foto DagangNews


Ditanya fasiliti kemudahan pelancongan di Terengganu pula, Sulaiman berkata terdapat lebih 12,000 bilik penginapan disediakan 373 hotel berdaftar dengan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu termasuk di pulau-pulau peranginan setakat ini.

"Kita juga ada 105 pemandu pelancongan bandar dan alam semulajadi serta 215 operator dan agen pelancongan yang bersedia menawarkan pakej menarik," katanya.

Sebanyak 22 aktiviti telah disenaraikan dalam kalendar pelancongan sepanjang tahun ini antaranya Festival Warisan Sungai pada Mac lepas, Karnival Candat Sotong (April), Karnival Budaya Terengganu (Jun), Karnival Pantai (Julai), Terengganu International Air Festival (Ogos), Tenggiri Challenge dan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (September), Alami Rasa Terengganu (Oktober), Tasik Puteri Jet Ski Challenge (November) dan Monsoon Casting Tournament (Disember). - DagangNews.com