Industri perbankan Islam meterai perjanjian perkukuh kerjasama antara bank

BNM berkata majlis memeterai MoU tersebut membuktikan komitmen bank-bank Islam untuk bekerjasama dan menjalin perjanjian dua hala bagi memperdalam aktiviti perdagangan antara bank. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bersempena dengan perbincangan meja bulat Jawatankuasa Kecil Pasaran Kewangan Islam (IFMC), industri perbankan Islam memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai Perjanjian Jual dan Beli Balik (SBBA) yang dipertingkatkan dan Perjanjian Induk Tahawwut (TMA).
Satu lagi perjanjian SBBA merentas mata wang berkaitan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) turut dimeterai antara RHB Bank Bhd, HSBC Amanah Malaysia Bhd, Standard Chartered Saadiq Bhd dan UOB Malaysia Bhd.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini berkata majlis memeterai MoU tersebut membuktikan komitmen bank-bank Islam untuk bekerjasama dan menjalin perjanjian dua hala bagi memperdalam aktiviti perdagangan antara bank.
Selain itu, katanya ia memberikan sokongan lebih lanjut terhadap pembangunan pasaran kewangan Islam."Perjanjian-perjanjian ini menegaskan komitmen bersama IFMC dan peserta industri menerusi Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) bagi melaksanakan rangka kerja pasaran utama dengan berkesan selain mengekalkan kepimpinan Malaysia dalam pembangunan pasaran kewangan Islam," katanya.
Majlis MoU berkenaan disaksikan oleh Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid dan Penolong Gabenor, Mohamad Ali Iqbal Abdul Khalid.
Sementara itu, IFMC juga mengadakan perbincangan meja bulat pada 15 Okt, 2025, di Lanai Kijang, BNM bersempena dengan Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2025 bagi membincangkan perkembangan dan inisiatif bagi pasaran kewangan Islam.
"Perbincangan yang dipimpin oleh industri itu menyaksikan pertukaran pandangan dan strategi untuk membina ekosistem kewangan Islam yang berorientasikan masa depan dan menyeluruh," kata BNM.
Bagaimanapun, Adnan Zaylani dalam ucapan aluannya berkata peserta pasaran kewangan Islam perlu terus berinovasi.
"Terdapat peluang-peluang baharu yang perlu diterokai seperti pembiayaan pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI), instrumen berasaskan wakaf dan tokenisasi aset untuk menggerakkan modal dermawan.
"Dalam perjalanan ini, perlu diingat iaitu tujuan kewangan Islam bukan untuk menggantikan instrumen berasaskan hutang, tetapi untuk berinovasi dan mengembangkan tawaran dengan memasukkan instrumen perkongsian risiko dan pembiayaan campuran yang boleh memberi manfaat untuk kawasan pertumbuhan baharu kita," katanya.
Sementara itu Pengerusi IFMC Hanif Ghulam Mohammed dalam ucapannya berkata meja bulat ini menekankan tekad kolektif industri untuk membentuk ekosistem pasaran kewangan Islam yang bersedia untuk masa depan.
"Perjanjian dan perbincangan yang diadakan hari ini menunjukkan komitmen yang teguh untuk memupuk inovasi, meningkatkan daya tahan pasaran dan menggalakkan penyelarasan global.
"IFMC kekal beri tumpuan untuk melakukan perubahan usaha-usaha kerjasama ini kepada hasil nyata yang memperkukuhkan kedudukan global pasaran kita," tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami