BUSINESS

Inflasi dijangka meningkat antara 2.0-3.5 peratus, kekal terurus tahun ini - BNM

Bernama 24/03/2025 | 08:30 MYT
Inflasi dijangka meningkat antara 2% hingga 3.5% tahun ini tetapi akan kekal terkawal kerana kos global yang semakin reda dan tiada tekanan permintaan berlebihan. -Gambar hiasan/Unsplash
KUALA LUMPUR: Inflasi dijangka menunjukkan trend menaik antara dua peratus hingga 3.5 peratus tahun ini berbanding purata pada 1.8 peratus pada tahun 2024 tetapi akan kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.


Ringkasan AI
  • Inflasi dijangka meningkat antara 2% hingga 3.5% tahun ini tetapi akan kekal terkawal kerana kos global yang semakin reda dan tiada tekanan permintaan berlebihan.
  • Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.5% hingga 5.5% pada 2025, didorong oleh permintaan domestik dan perbelanjaan sektor swasta yang stabil.
  • Bank Negara Malaysia akan terus memantau kesan limpahan daripada persekitaran global yang tidak menentu dan perubahan dasar dalam negeri untuk memastikan kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.


Dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 yang dikeluarkan hari ini, Bank Negara Malaysia menyatakan pada peringkat global, harga komoditi dijangka terus menurun, lantas menyebabkan kos pengeluaran yang lebih rendah bagi syarikat.

Sementara itu, peringkat domestik, keadaan permintaan asas akan kekal sederhana berikutan pertumbuhan penggunaan swasta yang stabil dan kenaikan upah yang selari dengan pertumbuhan produktiviti.

"Kesan inflasi daripada langkah-langkah dasar dalam negeri dan pelarasan cukai yang diumumkan, termasuk rasionalisasi subsidi RON95 secara bersasar dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dijangka bersifat sementara dan dapat dibendung dengan baik," menurut BNM selain menambah kesan langsung daripada langkah-langkah tersebut dijangka luput dalam masa setahun dan kekal terkawal berikutan pendekatan dasar-dasar tersebut secara bersasar.

Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun 2025, dengan permintaan domestik menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta yang stabil meskipun berdepan ketidaktentuan luaran.

Menurut BNM, perbelanjaan isi rumah yang lebih tinggi akan didorong oleh pertumbuhan guna tenaga dan pendapatan yang lebih pantas berserta sokongan dasar, sementara, aktiviti pelaburan akan terus mencatatkan pengembangan mantap apabila peningkatan kitaran pelaburan dijangka berlanjutan ke tahun 2025.

Pada tahun 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 1.8 peratus (2023: masing-masing 2.5 peratus dan tiga peratus), lebih rendah berbanding dengan purata jangka panjang (purata 2011-19: 2.2 peratus) berikutan keadaan kos global semakin reda dan permintaan yang stabil.

Dalam pada itu, sepanjang 2024, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus bagi memastikan kestabilan harga kondusif terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Pada tahun 2025 pula, BNM menyatakan MPC akan terus memantau kesan limpahan daripada persekitaran global yang tidak menentu dan kemungkinan kesan perubahan dasar dalam negeri.

"Berikutan ketidakpastian ini, perumusan dasar monetari akan terus mengambil kira pelbagai risiko dan perubahan yang mungkin berlaku berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan Malaysia," menurut BNM.

Pada 2024, ekonomi Malaysia terus kukuh, disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang mantap berikutan peningkatan perbelanjaan isi rumah dan pengembangan aktiviti pelaburan, aktiviti eksport turut mendapat manfaat daripada peningkatan kitaran teknologi global dan pengukuhan berterusan dalam segmen barangan bukan elektrik dan elektronik.-- BERNAMA





#Bank Negara Malaysia #ekonomi malaysia #Inflasi #kos global