Skip to main content

Bisnes

Inflasi diunjur meningkat pada 2026, purata 1.5 hingga 2.5 peratus

Kuala Lumpur , 15 Mei 2026. Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour pada sidang media Prestasi Ekonomi Suku Pertama Tahun 2026 di Bank Negara. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour memberitahu, inflasi keseluruhan pada suku pertama 2026 meningkat kepada 1.6 peratus berbanding 1.3 peratus pada suku sebelumnya. - Gambar/ Astro AWANI/ Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Inflasi negara diunjur meningkat secara sederhana pada tahun ini dengan purata antara 1.5 peratus dan 2.5 peratus, dipengaruhi peningkatan kos global termasuk harga komoditi dan tenaga.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour memberitahu, inflasi keseluruhan pada suku pertama 2026 meningkat kepada 1.6 peratus berbanding 1.3 peratus pada suku sebelumnya.

Menurutnya, kenaikan harga bahan api termasuk RON97 dan diesel serta caj elektrik menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan inflasi.

"Beberapa sektor mungkin lebih terdedah kepada kenaikan kos berkaitan komoditi, namun tahap dan kadar pemindahan kos kepada inflasi keseluruhan bergantung kepada tingkah laku penetapan harga oleh syarikat serta keadaan permintaan semasa termasuk langkah dasar kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Pertama 2026 di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Kata Abdul Rasheed, walaupun inflasi dijangka meningkat sedikit tahun ini, kadar tersebut masih terkawal dan kekal rendah berbanding banyak negara lain.

"Keadaan itu turut disokong permintaan domestik yang stabil serta langkah dasar kerajaan yang membantu mengurangkan kesan pemindahan kos kepada pengguna.

Katanya, peningkatan inflasi itu mencerminkan keadaan kos global yang kekal tinggi serta kesan pemindahan kos secara berperingkat dalam rantaian pengeluaran domestik.

Beliau menambah, secara keseluruhan inflasi dijangka kekal stabil, disokong keadaan pasaran buruh yang terus kukuh dan permintaan domestik yang mampan.
 

Must Watch Video