KUALA LUMPUR: Harga komoditi yang tinggi mendorong Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meningkat 0.2 peratus kepada 11.2 peratus pada Mei.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, IHPR yang mengukur harga barangan di pintu kilang pada bulan April berada pada paras 11 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada Mei 2022 disumbangkan oleh indeks perlombongan yang meningkat 20.6 peratus berbanding 18.4 peratus pada April 2022.

Selain itu, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan pula mencatatkan peningkatan 16.7 peratus disumbangkan terutama oleh kenaikan dalam indeks bagi penanaman tanaman kekal (21.2 peratus), perikanan (11.3 peratus) dan penanaman tanaman tidak kekal (7.8 peratus).

Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi bulan Mei 2022.

"Pada Mei 2022, indeks pembuatan mencatatkan peningkatan dua angka sebanyak 10.1 peratus buat kali pertama sejak Ogos 2011, dipacu oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (24.5 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (22.9 peratus) dan pembuatan kimia asas, baja dan sebatian nitrogen, plastik dan getah sintetik dalam bentuk primer (13.3 peratus).

"Sementara itu, indeks bekalan air meningkat 1.2 peratus, manakala indeks bekalan elektrik dan gas menurun 0.6 peratus," menurutnya menerusi laporan IHPR Mei 2022 yang diterbitkan pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata peningkatan dua angka dalam IHPR di Malaysia adalah selari dengan kenaikan inflasi di peringkat pengeluar bagi beberapa negara terpilih yang dipengaruhi oleh faktor kekurangan bekalan terutama bahan mentah berikutan kelonggaran sekatan, pembukaan ekonomi serta perang antara Russia dan Ukraine.

Beliau berkata, inflasi di peringkat pengeluar bagi United Kingdom meningkat 15.7 peratus pada Mei 2022, naik daripada 14.7 peratus dicatatkan pada April 2022.

Selain itu, kenaikan turut didorong harga yang lebih tinggi bagi bahan api dan bahan mentah yang meningkat lebih daripada 22 peratus tahun ke tahun.