[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
BISNES

INSKEN anjur Seminar Usahawan MADANI, sasar 15 lokasi di seluruh negara

Astro Awani 23/06/2025 | 09:57 MYT
Seramai 275 usahawan menyertai SUM:PPS bagi melatih usahawan mendalami kaedah pembangunan produk dan servis yang berkesan. -Foto INSKEN
KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) menyasarkan untuk melaksanakan Seminar Usahawan MADANI: Pembangunan Produk dan Servis (SUM:PPS) di 15 lokasi strategik di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Ringkasan AI
  • INSKEN melaksanakan Seminar Usahawan MADANI: Pembangunan Produk dan Servis (SUM:PPS) di 15 lokasi untuk memperluas akses bimbingan kepada usahawan tempatan, dengan lebih 3,000 peserta telah menyertai setakat ini.
  • Seminar ini memberi peluang kepada usahawan untuk mempelajari pembangunan produk dan servis melalui lima modul utama, serta menyediakan sesi penilaian langsung bersama pakar industri bagi meningkatkan kualiti dan daya saing produk.
  • INSKEN menggalakkan kerjasama daripada sektor kerajaan, swasta dan NGO untuk menjayakan program pembangunan keusahawanan seperti SUM:PPS.

Inisiatif tersebut bertujuan memperluaskan akses bimbingan dan pendedahan kepada lebih ramai usahawan tempatan yang berpotensi untuk berkembang.
Menurut INSKEN dalam satu kenyataan, penganjuran SUM:PPS setakat ini telah berjaya menarik penyertaan lebih 3,000 peserta dari seluruh negara menerusi tujuh siri seminar yang telah dilaksanakan.
"Terbaharu, INSKEN terus memperkasa 275 usahawan menerusi inisiatif SUM:PPS yang telah diadakan di MARDI Corp Academy Serdang.
"Melalui seminar ini, para usahawan diberi peluang untuk mendalami kaedah pembangunan produk dan servis yang berkesan, sekali gus mempersiapkan mereka menembusi pasaran baharu dan meningkatkan prestasi jualan.
"Pendedahan ini disampaikan menerusi lima modul utama yang dirangka khusus untuk membina asas yang kukuh merangkumi analisa pasaran, prototaip, validasi, pengeluaran (termasuk penyumberan, pengiraan kos; penetapan harga) serta pengkomersialan," katanya pada Selasa.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub dalam kenyataan sama menjelaskan seminar yang diadakan bukan sekadar teori semata-mata, sebaliknya ia turut menyediakan platform praktikal.
"Seramai 30 usahawan terpilih menjalani sesi penilaian produk dan servis secara langsung bersama 'coach' serta pemain industri, bagi mendapatkan maklum balas terus terhadap potensi dan penambahbaikan produk mereka.
"Pendekatan menyeluruh ini membolehkan usahawan memahami keseluruhan rantaian proses yang terlibat dalam menghasilkan produk dan servis yang bukan sahaja berkualiti, tetapi juga berdaya saing dan mampan di pasaran," ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengalu-alukan penglibatan lebih banyak rakan kolaborasi daripada sektor kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama menjayakan program pembangunan keusahawanan seperti SUM:PPS.
#Seminar keusahawanan #Kemahiran usahawan #Bantuan kepada usahawan #berita dalam negara