Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
BISNES

INSKEN terus perkasa usahawan, anjur siri ke-11 Seminar Usahawan MADANI

Astro Awani 27/08/2025 | 09:05 MYT
Siri ke-11 Seminar Usahawan MADANI: Pembangunan Produk dan Servis (SUM:PPS) berlangsung di Sandakan, Sabah. - Foto INSKEN
KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) meneruskan komitmennya dalam memperkasa usahawan tempatan menerusi penganjuran siri ke-11 Seminar Usahawan MADANI: Pembangunan Produk dan Servis (SUM:PPS) yang berlangsung di Sandakan, Sabah.


Ringkasan AI
  • INSKEN anjur siri ke-11 Seminar Usahawan MADANI (SUM:PPS) di Sandakan, bertujuan memperkasa usahawan luar bandar melalui ilmu pembangunan produk dan servis.
  • Seminar percuma ini fokus kepada teknik pemasaran, analisis kos dan fasa pembangunan produk, serta menyediakan sesi penilaian langsung bersama tenaga pengajar dan pemain industri.
  • Lebih 4,500 peserta telah manfaatkan program ini, hasil kolaborasi strategik dengan pelbagai agensi; seminar seterusnya dijadual berlangsung di Terengganu, Perak, Perlis dan Melaka.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni, institusi itu komited untuk memastikan tiada usahawan yang tercicir daripada arus pembangunan ekonomi, termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar.

“Melalui penganjuran SUM:PPS, kami membuka akses ilmu yang relevan dan praktikal agar usahawan luar bandar turut berdaya saing dan mampu meningkatkan kualiti produk serta perkhidmatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Inisiatif seminar percuma itu telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Carl Douglas Victor Moosom.

Mengulas lanjut, Viviantie memaklumkan seminar itu memberi tumpuan kepada topik-topik utama seperti teknik membangunkan produk dan servis, analisis pasaran, enam fasa pembangunan produk dan servis, serta pengiraan kos.

Tambahnya, kesemua modul itu direka bagi membantu para usahawan menguasai asas yang kukuh dalam pembangunan produk dan perkhidmatan, sekali gus memastikan daya saing berterusan, peningkatan hasil jualan, serta kelangsungan perniagaan dalam jangka masa panjang.

“Selain pengisian teori, seminar ini turut menyediakan platform praktikal menerusi sesi penilaian secara langsung melibatkan 30 usahawan terpilih.

“Dalam sesi ini, peserta berpeluang membentangkan produk dan servis mereka kepada tenaga pengajar berpengalaman serta pemain industri bagi mendapatkan maklum balas membina terhadap potensi dan penambahbaikan yang diperlukan,” katanya.

Pelaksanaan SUM:PPS kali ini adalah hasil kolaborasi strategik bersama, antaranya melibatkan Institut Latihan Perindustrian, Jabatan Perpaduan Negara, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), dan Politeknik Sandakan.

Setakat ini, lebih 4,500 peserta telah menerima manfaat melalui pelaksanaan 11 siri SUM:PPS, dengan seminar seterusnya dijadual diadakan di Terengganu, Perak, Perlis dan Melaka.




#Seminar INSKEN #usahawan tempatan #PPS Malaysia #Seminar Usahawan MADANI