BISNES

Institusi tempatan kekal pembeli bersih di Bursa Malaysia, catat RM1.16 bilion

Bernama 02/09/2025 | 05:01 MYT
Institusi tempatan terus membeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut dengan jumlah RM1.16 bilion. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Institusi tempatan meneruskan aktiviti pembelian bersih di Bursa Malaysia bagi minggu kelima berturut-turut pada minggu lepas dengan mencatat pembelian sebanyak RM1.16 bilion berbanding RM391.8 juta pada minggu sebelumnya.


Ringkasan AI
  • Institusi tempatan terus membeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut dengan jumlah RM1.16 bilion, meningkat berbanding RM391.8 juta minggu sebelumnya.
  • Pelabur runcit kembali sebagai pembeli bersih dengan aliran masuk RM249.4 juta, manakala pelabur asing kekal menjual bersih selama lapan minggu berturut-turut dengan aliran keluar RM1.41 bilion.
  • Sektor dengan aliran masuk asing tertinggi ialah pengangkutan & logistik, pembinaan, dan perindustrian; manakala aliran keluar tertinggi melibatkan kewangan, pengguna, dan utiliti.


Dalam laporan mingguan Aliran Dana bagi minggu berakhir 29 Ogos, 2025, MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) berkata pelabur runcit tempatan beralih sebagai pembeli bersih, sekali gus menamatkan jualan bersih selama dua minggu berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak RM249.4 juta.

Bank pelaburan itu berkata pelabur asing meneruskan aktiviti jualan bagi tempoh lapan minggu berturut-turut dengan mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM1.41 bilion iaitu 4.47 kali lebih tinggi berbanding aliran keluar bersih minggu sebelumnya sebanyak RM314.4 juta.

"Kalangan pelabur asing menjadi penjual bersih sepanjang minggu pada setiap hari dagangan.

"Aliran keluar berjumlah RM95.4 juta hingga RM510.1 juta dengan angka tertinggi pada Selasa, diikuti oleh Jumaat (RM330.9 juta), Isnin (RM267.1 juta) dan Khamis (RM201.9 juta)," katanya.

Jumlah aliran keluar terendah pada Rabu sebanyak RM95.4 juta.

Menurut MBSB IB, tiga sektor utama dengan aliran masuk bersih tertinggi bagi pelabur asing adalah pengangkutan dan logistik (RM44.5 juta), pembinaan (RM30.6 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM23.9 juta).

Selain itu, tiga sektor utama dengan aliran keluar bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM752.6 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM279.9 juta) serta utiliti (RM159.4 juta).

Bank pelaburan itu berkata purata jumlah dagangan harian mencatat peningkatan secara menyeluruh dengan pelabur asing dan institusi tempatan masing-masing menyaksikan pertambahan sebanyak 76.4 peratus dan 13.3 peratus manakala pelabur runcit meningkat sederhana sebanyak 14.9 peratus.

-- BERNAMA



#Institusi tempatan #Bursa Malaysia #aktiviti pembelian bersih #pelaburan