KUCHING: Kawasan di Sarawak yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 500 boleh diisytiharkan sebagai kawasan darurat susulan jerebu, namun pengisytiharan itu hanya terpakai kepada lokaliti yang terjejas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkara itu adalah selaras dengan panduan pengurusan bencana jerebu di Malaysia yang menetapkan bacaan IPU 500 sebagai keadaan yang memerlukan pengisytiharan darurat.
Menurutnya, sekiranya sesuatu lokaliti seperti Serian mencapai paras berkenaan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan memaklumkan perkara itu kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
“Sekiranya Serian, sebagai contoh, mencapai bacaan 500, kita akan memaklumkan perkara itu kepada Kuala Lumpur dan pengisytiharan darurat akan dikuatkuasakan di kawasan berkenaan, bukan seluruh Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, pada Isnin.
Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak menjelaskan, sekiranya darurat dikuatkuasakan, semua pejabat serta sektor awam dan swasta di kawasan terbabit perlu ditutup, termasuk sekolah, manakala hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi.
Bagaimanapun, beliau berharap keadaan itu tidak berlaku meskipun Sarawak ketika ini berdepan peningkatan bacaan IPU di beberapa kawasan.
“Kita sedang memantau keadaan ini dan kita berdoa supaya tidak sampai ke paras 500, walaupun ia sudah dekat,” tambahnya.
Setakat 2.00 petang Isnin, empat bahagian dalam kategori berbahaya ialah Serian (451); Kuching (354); Samarahan (342); dan Sri Aman (332).
Dalam perkembangan sama, Uggah menegaskan isu jerebu rentas sempadan merupakan isu serantau yang memerlukan penglibatan kerajaan negara-negara terlibat menerusi saluran serantau dan diplomatik yang ditetapkan.
Katanya, JPBN Sarawak juga telah menghubungi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, yang merupakan Timbalan Pengerusi jawatankuasa berkaitan, bagi membangkitkan situasi jerebu semasa di negeri itu.
Langkah berkenaan, katanya, bagi memudah cara penglibatan dengan Indonesia melalui saluran ASEAN yang ditetapkan dalam usaha menangani isu jerebu rentas sempadan.