BISNES

Ireka dapatkan khidmat peguam berkaitan penamatan subkontrak lebuh raya Pan Borneo

Bernama 29/07/2025 | 01:00 MYT
Projek lebuh raya Pan Borneo Sabah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ireka Corporation Bhd (Ireka) berkata ia sedang dalam proses mendapatkan khidmat peguam sebagai respons kepada cadangan notis penamatan secara persetujuan bersama daripada Gammerlite Sdn Bhd (GSB) berkaitan subkontrak untuk sebahagian daripada projek lebuh raya Pan Borneo Sabah.

Notis itu diterima semalam daripada GSB, mencadangkan penamatan secara persetujuan bersama surat pemberian (LOA) bertarikh 8 Oktober, 2024 dan 11 Oktober, 2024, GSB telah melantik anak syarikat milik penuh Ireka, Shoraka Construction Sdn Bhd (SCSB) untuk kerja naik taraf jalan dari Kampung Lomou Baru ke Kampung Toupus.

Cadangan itu berikutan penamatan Perjanjian Operasi Projek (POA) antara MTD Construction Sdn Bhd (kontraktor utama) dan GSB telah ditamatkan pada 30 Jun, 2025, disebabkan kegagalan GSB untuk mendapatkan pembiayaan diperlukan sebelum tarikh akhir ditetapkan dalam POA tersebut.

Ireka berkata ia telah menyatakan tidak bersetuju atas perkara berkenaan kepada GSB, bagaimapun sehingga kini, ia belum menerima maklum balas.

"ICB tidak bersetuju dengan cadangan penamatan secara persetujuan bersama dalam bentuk semasanya kerana skop kerja tertentu di bawah projek itu telah pun disiapkan sebahagiannya oleh SCSB; dan notis penamatan itu tidak menangani syarat penyelesaian untuk nilai kerja yang telah disiapkan atau obligasi berkaitan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Selain itu, ia berkata dalam apa jua keadaan, Ireka berkata ia "dengan ini segala haknya terpelihara, kepentingan dan remedinya di bawah LOA dan undang-undang yang terpakai terhadap GSB termasuk tetapi tidak terhad kepada pemulihan untuk kerja yang dilakukan dan kos berkaitan."

"Impak kewangan kepada kumpulan masih tidak dapat ditentukan pada peringkat ini sementara menunggu perbincangan penyelesaian selesai.

"Jumlah kontrak projek itu ialah RM1.07 bilion, kira-kira RM10 juta telah diiktiraf dengan keuntungan RM1 juta berdasarkan sekitar satu peratus mencapai kemajuan fizikal," tambahnya.

Ireka sedang mencari penyelesaian saksama untuk kerja yang dilakukan dan kos ditanggung serta menjangkakan perbelanjaan undang-undang dan pentadbiran berkaitan dengan penyelesaian pertikaian.

-- BERNAMA




#lebuh raya Pan Borneo Sabah #Ireka #peguam #tamat subkontrak