IRIS Corporation Bhd (ICB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan FELDA bagi menjayakan projek Sentuhan Kasih di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia Khamis, ia berkata menerusi MoU itu, IRIS bersetuju melaksanakan projek Sentuhan Kasih untuk Felda di S.K. Tenggaroh 3, Johor; S.K. Chini, Pahang; S.K. Besut, Terengganu; S.K. Palong, Negeri Sembilan; S.K. Alor Setar, Kedah; S.K. Gua Musang, Kelantan dan S.K. Felda Jaya, Negeri Sembilan.

"IRIS akan melakukan yang terbaik dalam menyediakan kepakaran dan kemahiran bagi menjayakan projek itu yang dilaksanakan menerusi dua bahagian - projek pembinaan dan infrastruktur dan khidmat perundingan kepada FELDA untuk memberikan nasihat pakar," katanya.

Syarikat itu berkata anggaran kos pelaksanaan usaha sama itu tertakluk kepada terma dan syarat kontrak rasmi bagi setiap projek individu Sentuhan Kasih oleh FELDA kepada ICB.

"Jika tiada masalah, lembaga pengarah berpendapat kejayaan pelaksanaan projek Sentuhan Kasih ini akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan Kumpulan ICB pada masa depan," katanya.

Pada November tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan FELDA memperuntukkan RM120 juta untuk projek Sentuhan Kasih bagi membina rumah untuk generasi kedua peneroka Felda selain membolehkan mereka meneroka projek tanaman kontan yang memberi pulangan hasil yang tinggi.