Iskandar Malaysia peroleh pelaburan RM172.2 bilion pada H1 2019

Bernama
Oktober 9, 2019 04:28 MYT
SARKUNAN: Pelabur China banyak melabur dalam pembangunan hartanah, manakala pelabur Singapura terus berminat ke atas sektor pembuatan, serta logistik.
Iskandar Malaysia, koridor ekonomi di selatan, kekal dalam radar pelabur dengan pelaburan berjumlah RM172.2 bilion daripada jumlah keseluruhan yang direalisasikan sehingga separuh pertama 2019 (H1 2019).
Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia Sarkunan Subramaniam berkata sejak penubuhannya pada 2006 hingga H1 2019, ia mencatatkan pelaburan komited terkumpul sebanyak RM302.09 bilion.
"Berdasarkan prestasi semasa, Iskandar Malaysia dijangkakan melepasi sasaran pelaburan sebanyak RM383 bilion menjelang 2025," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada H1 2019, 39 peratus melibatkan pelaburan langsung asing, sebahagian besarnya dari China (RM40.65 bilion) dan Singapura (RM20.57 bilion).
"Pelabur China banyak melabur dalam pembangunan hartanah, manakala pelabur Singapura terus berminat ke atas sektor pembuatan, serta logistik," kata Sarkunan.
Beliau juga berkata pelbagai organisasi seperti Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, telah memulakan insentif untuk menggalakkan pelaburan daripada pelabur tempatan dan asing di rantau ini.
"Para pelabur asing berkata mereka sangat prihatin terhadap kemungkinan kos operasi yang lebih rendah, lokasi strategik dan kumpulan bakat, serta tenaga kerja mahir dalam membuat keputusan untuk melabur ke rantau ini.
"Ketersediaan faktor sedemikian menarik pelabur asing memandangkan impak penurunan perbelanjaan operasi dalam aliran rantaian bekalan dalam jangka panjang, penting bagi perniagaan untuk terus berdaya saing," katanya.
Sementara itu, Ketua Perunding Knight Frank Singapura, Tay Kah Poh berkata pelabur Singapura positif terhadap sektor penjagaan kesihatan di Iskandar Malaysia, dengan kelebihannya lokasinya yang berdekatan kadar tukaran mata wang yang menggalakkan, serta penjagaan kesihatan berkualiti yang setanding dengan republik itu.
"Penggiat penjagaan kesihatan utama seperti Thomson Medical dan Gleneagles telah membangunkan kemudahan penjagaan kesihatan yang berkualiti di Johor dan kluster itu akan menarik jumlah pesakit yang ramai dari Singapura," katanya.
-- BERNAMA
#China #ekonomi #insentif #Iskandar Malaysia #jumlah pesakit #Knight Frank Malaysia #koridor ekonomi #kos operasi #lokasi strategik #Malaysia #melepasi sasaran #pelabur #pelaburan #penjagaan kesihatan #Sarkunan Subramaniam #Singapura #Tay Kah Poh #tukaran mata wang