JOHOR BAHRU: Isu kos sara hidup merupakan antara perkara fokus yang bakal disentuh pada Belanjawan Johor 2024, yang bakal dibentang pada 23 Nov depan.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan dan akan terus berusaha dengan pelbagai inisiatif, bagi membantu menangani isu tersebut khususnya melibatkan sekuriti makanan di negeri ini.

"Semestinya (isu kos sara hidup) satu perkara yang perlu diumumkan di mana saya tengok ia perkara yang penting dan kita juga akan lihat macam mana kita nak membantu daripada segi sekuriti makanan dalam keadaan perubahan dan sebagainya.

"Kita berpendapat bahawa perkara ini tidak akan hilang dan ia akan berterusan, jadi kerajaan negeri akan terus berusaha dengan Kerajaan Persekutuan, untuk memastikan Johor dapat dijadikan sebagai bank makanan," kata beliau kepada pemberita pada Program Jualan Rahmah di perkarangan parkir kereta Hospital Sultan Ismail, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata beliau juga akan berjumpa dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, untuk membincangkan mengenai bank makanan" tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Belanjawan Johor 2024 dan antara isu yang akan menjadi fokus.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon serta Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor Lilis Saslinda Pornomo.

Sebelum ini, Onn Hafiz memberi bayangan akan mengumumkan beberapa perkara menarik akan dibuat dalam Belanjawan Johor 2024, yang akan meliputi ketersambungan pengangkutan, pelancongan dan juga perkara seperti Johor Selamat, Johor Bersih dan sebagainya.

-- BERNAMA