Isu Petronas: Hormati perjanjian, Wisma Putra panggil Kuasa Usaha Sudan

Astro Awani
Oktober 13, 2021 08:26 MYT
Kuasa Usaha Sudan di Malaysia, Omer Oushek (kanan) bertemu Setiausaha Bahagian, Bahagian Afrika Kementerian Luar, Amarjit Singh Sarjit Singh ketika dipanggil oleh Wisma Putra. - Foto Wisma Putra
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memanggil buat kali kedua Kuasa Usaha Sudan, Omer Oushek bagi menyampaikan kebimbangan Malaysia berkait isu melibatkan Kompleks Petronas Sudan di Khartoum.
Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu memaklumkan, Kerajaan Sudan digesa menghormati beberapa perjanjian dan konvensyen antarabangsa yang dicapai.
"Kementerian menggesa Kerajaan Sudan untuk menghormati Perjanjian Promosi dan Perlindungan Pelaburan Dua Hala yang berkuat kuasa antara Malaysia dan Sudan.
"Selain itu, memandangkan Kompleks tersebut menempatkan Kedutaan Besar Malaysia, Kerajaan Sudan juga digesa untuk menghormati status Kedutaan Besar kita sebagai sebuah entiti diplomatik, sebagaimana yang termaktub dalam Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961," memetik kenyataan itu.
BACA: Waran tangkap ke atas bekas pegawai, Petronas ambil tindakan undang-undang terhadap Sudan
Menurut Wisma Putra, walaupun proses timbang tara yang diaktifkan oleh Petronas telah bermula, Kementerian Luar turut berharap agar isu itu dapat diselesaikan secara baik dalam masa terdekat, demi memelihara hubungan akrab yang sedia terjalin antara Malaysia dan Sudan.
Pada masa sama, Wisma Putra turut memaklumkan bahawa semua rakyat Malaysia yang bermastautin di Sudan serta berdaftar dengan Kedutaan Besar kita, berada dalam keadaan selamat.
Malah, Kementerian Luar juga akan terus memantau rapat perkembangan isu ini dengan dalam memelihara kepentingan Malaysia di Sudan.
#Kementerian Luar #Omer Oushek #pelaburan minyak #proses timbang tara Petronas