BISNES
Jawatankuasa Malaysia-UK: Syarikat tempatan perlu bersedia dari aspek operasi
Ahmad Rizal berpendapat, kejayaan sebenar hanya akan dicapai jika syarikat tempatan bersedia dari segi asas operasi dan keupayaan pengeluaran. - Foto Ahmad Rizal Razak
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Bersama Malaysia–United Kingdom (UK) merupakan inisiatif proaktif dalam memperkukuh kerjasama francais, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada jenama tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Ringkasan AI
- Inisiatif untuk memperkukuh ekosistem francais: Kerajaan Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Bersama dengan UK bagi membuka lebih banyak peluang kepada jenama tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
- Cabaran utama bagi syarikat tempatan: Ahmad Rizal Razak menekankan bahawa kejayaan sebenar hanya boleh dicapai jika syarikat tempatan bersedia dari segi asas operasi, kapasiti pengeluaran, dan pematuhan piawaian antarabangsa.
- Keperluan sokongan dan pengurusan moden: Beliau mencadangkan agar jawatankuasa ini bukan sekadar platform diplomasi tetapi turut membantu syarikat tempatan mendapatkan akses kepada pakar industri, jururunding pensijilan, dan rakan kongsi pengilangan berskala besar di UK atau Eropah.
Namun perunding kanan dalam transformasi kewangan dan digital perniagaan, Ahmad Rizal Razak berpendapat, kejayaan sebenar hanya akan dicapai jika syarikat tempatan bersedia dari segi asas operasi dan keupayaan pengeluaran.
"Setiap kali syarikat Malaysia menyertai pameran perdagangan antarabangsa, sambutan terhadap produk kita memang sangat memberangsangkan.
"'Tetapi realitinya, selepas pameran tamat, banyak jenama tempatan sukar memenuhi permintaan kerana kekangan kapasiti pengeluaran dan kegagalan memenuhi standard antarabangsa," jelasnya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Ahmad Rizal yang juga bekas Ketua Pegawai Kewangan Cradle Fund, menegaskan kekangan yang dihadapi syarikat tempatan bukan semata-mata berpunca daripada kekurangan dana.
Katanya, ramai usahawan francais tempatan mempunyai produk yang berpotensi besar, namun gagal untuk berkembang kerana tidak memiliki rangka sokongan yang kukuh.
Menurutnya, ia termasuk akses kepada latihan teknikal, mentor industri serta pendedahan kepada amalan terbaik yang diguna pakai di peringkat global.
"Menambah kapasiti bukan hanya memerlukan modal, tetapi turut menuntut kepakaran dan pengalaman operasi. Tanpa bimbingan teknikal serta pemahaman mendalam tentang sistem pengilangan dan pematuhan piawaian antarabangsa, syarikat tempatan akan terus terkandas di peringkat awal pembangunan," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Rizal memberitahu, walaupun inisiatif kerajaan seperti geran Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) membantu membuka jalan, namun masih ramai lagi pemain industri belum memiliki struktur kewangan yang kukuh untuk menyokong pengembangan jangka panjang.
"Saya lihat banyak perniagaan terlalu fokus pada pembiayaan awal tanpa merancang aliran tunai, kos audit, pematuhan halal luar negara, atau tuntutan undang-undang perdagangan di UK," jelas beliau.
Beliau juga menekankan pentingnya sistem pengurusan francais yang moden dan digital.
"UK memerlukan dokumentasi terperinci, latihan berterusan dan kawalan kualiti secara konsisten. Banyak syarikat masih bergantung pada pengurusan manual – itu tidak lagi mencukupi," ujar Ahmad Rizal.
Justeru, Ahmad Rizal mencadangkan Jawatankuasa Bersama ini bukan sekadar menjadi platform diplomasi, tetapi juga membantu menghubungkan syarikat tempatan dengan pakar industri, jururunding pensijilan dan rakan kongsi pengilangan berskala besar di UK atau Eropah.
Beliau turut menyarankan agar kejayaan inisiatif ini diukur secara lebih bermakna – seperti kadar syarikat yang berjaya memenuhi tempahan eksport pertama dalam masa tiga bulan, atau berapa banyak yang dapat capai titik pulang modal dalam tempoh setahun selepas pengembangan.
Dalam lawatan empat hari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke UK baru-baru ini, beliau mengumumkan untuk mewujudkan satu jawatankuasa bersama antara persatuan perniagaan francais Malaysia dan UK bagi memperkukuh ekosistem francais negara di UK.
Menurutnya, usaha tersebut dilaksanakan sebagai platform sokongan untuk membantu jenama francais Malaysia menembusi pasaran UK menjelang tahun depan.
#Jawatankuasa Bersama Malaysia United Kingdom
#francais
#Ahmad Rizal Razak
#peluang kepada jenama tempatan
#tembusi pasaran antarabangsa