KUALA LUMPUR: Johor Corporation (JCorp) dan Sojitz Corporation menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama selama tiga tahun mengenai penyahkarbonan dengan menggunakan bahan api hidrogen di Johor.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, kerjasama itu menandakan satu mercu jaya penting dalam usaha kumpulan memulakan perjalanan mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.

Beliau yang juga Pengerusi JLand Group Sdn Bhd (JLG) berkata, inisiatif strategik bersama Sojitz adalah sejajar dengan komitmen JCorp untuk mengukuhkan agenda kelestarian di seluruh rantaian nilai perniagaan.

“Kerjasama ini dilaksanakan tepat pada masanya untuk mengalihkan ekonomi daripada bahan api berasaskan fosil kepada tenaga alternatif.

"Ia bukan sahaja pelaburan untuk melindungi masa depan dan mewujudkan kelestarian dalam perniagaan JCorp, tetapi juga memacu perkembangan ekonomi baharu di negeri ini sambil memenuhi komitmen ESG untuk mencipta tenaga lebih hijau bagi industri masa depan dan juga generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

jcorp
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Pengarah Bahagian Hartanah dan Infrastruktur JCorp, Datuk Akmal Ahmad dan Pengarah Urusan Sojitz, Shigeya Kusano. Turut kelihatan, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim (kiri) dan Pengurus Besar Kanan Sojitz, Hiroshi Nakata (kanan).

Di bawah kerjasama itu, JLG dan Sojitz akan berganding bahu untuk menjayakan beberapa inisiatif penyahkarbonan, yang antara lain, mewujudkan rantaian bekalan lestari dalam bahan api hidrogen daripada pengimportan amonia. 

Kajian itu juga merupakan sebahagian daripada perancangan ke arah pembangunan terminal penerimaan amonia, pangkalan bekalan tangki simpanan, loji kuasa turbin gas amonia sebagai bahan api untuk membekalkan tenaga hijau kepada pelanggan industri, dan pelan penyahkarbonan menyeluruh bagi operasi pelabuhan JCorp untuk mewujudkan pelabuhan neutral karbon di Terminal Pelabuhan Tanjung Langsat (TLPT).
Sojitz menggalakkan pembangunan rantaian nilai menggunakan bahan api generasi akan datang seperti hidrogen, berasaskan pengalaman perniagaan dalam pelbagai industri di Asia dan seluruh dunia.

Dalam kerjasama itu, Sojitz akan mengetuai rundingan dengan bahagian pengeluaran hidrogen dan amonia, menentukan kaedah pengangkutan optimum dan mengunjurkan kebolehlaksanaan dari segi ekonomi. -DagangNews.com