KUALA LUMPUR: Jelajah Jiwa SME 2023 yang berlangsung sejak Julai hingga November tahun ini berjaya menarik lebih daripada 28,000 pengunjung dalam setiap siri jelajahnya.

Bahkan, jelajah itu juga berjaya menarik penyertaan lebih daripada 2,000 pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam lima siri jelajah.

Bermula dari Sabah, Kelantan, Johor, Pulau Pinang dan lokasi terakhir di The Curve, Mutiara Damansara, ‘Jelajah Jiwa SME’ terakhir masih mengekalkan konsep dan objektif yang sama seperti penganjuran sebelumnya.

Memilih The Curve sebagai lokasi terakhir pada tahun ini, pelbagai program disediakan kepada pengunjung termasuk 70 reruai membabitkan PMKS tempatan yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan.

Majlis perasmian penutup Jelajah Jiwa SME 2023 di kompleks beli-belah itu pada Sabtu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Noor Afifah Abdul Razak.

Menurut Noor Afifah, objektif Jiwa SME adalah selaras dan menyokong  hasrat Kerajaan melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) iaitu membudayakan keusahawanan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Dengan KUSKOP selaku rakan strategik dan Unifi Business selaku penaja utama program jelajah ini, saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat yang telah berusaha keras dalam menjayakan acara Jelajah Jiwa SME 2023 ini.

“Ini membuktikan bahawa usaha untuk memartabatkan usahawan PMKS bukan sahaja merupakan tanggungjawab Kerajaan malah memerlukan kerjasama semua pihak untuk sama-sama menggembleng usaha dalam memartabatkan PMKS di negara ini.

“Syabas sekali lagi kepada Astro AWANI dan Unifi Business atas sokongan yang diberikan,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Turut hadir, Pengerusi Astro AWANI, Henry Tan; Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail; dan Naib Presiden Unifi Business, Mohamad Yusman Ammeran.

Siri ‘Jelajah Jiwa SME’ mendapat kerjasama daripada Unifi Business selaku penaja utama, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi selaku rakan strategik dan Astro Radio sebagai rakan penyiar.