KUALA LUMPUR: Jepun akan terus berusaha mengukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia ketika kedua-dua negara merayakan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP) tahun ini.

Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia Araki Kaname berkata, negara itu akan bekerjasama dengan Malaysia sepanjang tahun ini sempena merayakan pencapaian hubungan dua hala sejak 40 tahun lalu.

Tumpuan juga akan diberikan dalam mengeratkan lagi hubungan dua hala untuk tempoh 40 tahun akan datang, katanya dalam ucapan di Festival Filem Jepun 2021 pada Selasa.

Malaysia, di bawah pentadbiran perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu, memperkenalkan LEP pada Februari 1982 dengan objektif mencontohi budaya kerja Jepun serta kepakaran teknologinya demi pembangunan negara.

Araki berkata di bawah dasar itu, sejak 40 tahun lepas, kira-kira 26,000 rakyat Malaysia telah ke Jepun untuk belajar dan mendapat latihan.

"Apabila kembali ke Malaysia, mereka telah memainkan peranan yang amat diperlukan dalam pelbagai bidang serta menjadi penghubung antara kedua-dua negara," tambahnya.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai acara berkaitan sambutan itu boleh diperoleh menerusi laman web atau laman Facebook kedutaan.

-- BERNAMA