BISNES
Johor catat pelaburan dilulus tertinggi berjumlah RM30.1 bilion pada suku pertama 2025

Lee Ting Han berkata pencapaian itu adalah hasil daripada strategi pelaburan yang inklusif dan berpandangan jauh yang digerakkan secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. - Gambar fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Johor mencatatkan prestasi pelaburan tertinggi di Malaysia bagi tempoh suku pertama 2025 dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM30.1 bilion, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai peneraju utama pelaburan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Lee Ting Han berkata pencapaian itu adalah hasil daripada strategi pelaburan yang inklusif dan berpandangan jauh yang digerakkan secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
"Sebahagian besar pelaburan tersebut tertumpu kepada sektor perkhidmatan berimpak tinggi seperti logistik, pusat data dan kemudahan perniagaan moden, selari dengan aspirasi Johor untuk menjadi hab ekonomi digital dan perindustrian bernilai tambah tinggi.
"Kejayaan ini turut disumbang oleh pelbagai inisiatif strategik termasuk penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre sebagai pemudahcara utama kepada pelabur, serta kolaborasi erat dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), agensi persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya menerusi hantaran di laman facebook beliau, hari ini.Lee berkata perkembangan strategik pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang mendapat perhatian pelabur antarabangsa serta kemajuan berterusan dalam infrastruktur negeri seperti jalan raya, pelabuhan dan sistem tenaga turut menjadi pemangkin utama menyokong pelaburan.
Menurutnya, dasar yang konsisten dan stabil untuk pelabur termasuk dasar mesra industri melalui Johor Fast Lane, serta sokongan tenaga kerja berkemahiran menerusi Johor Talent Development Council (JTDC) juga memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi.
Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap semua pihak yang menyumbang kepada pencapaian tersebut termasuk penjawat awam, pemain industri, agensi promosi pelaburan seperti IRDA, MIDA, Invest Johor, pembekal utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ranhill SAJ serta komuniti perniagaan.
"Kerajaan Negeri Johor kekal komited untuk memperkukuh ekosistem pelaburan, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dan memastikan pembangunan yang seimbang serta inklusif.
"Johor dilihat terus mara sebagai kuasa ekonomi baharu rantau ini dengan dasar dan perancangan yang mampan untuk jangka masa panjang," katanya.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami