awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
SPRM pulangkan wang hasil rasuah, urusan belanja tanggungjawab MOF - Azam Baki
Ramadan: Jangan subahat dengan 'geng plastik hitam' - Timbalan Mufti Perak
Kajian pilihan raya DBKL bukan agenda DAP, disokong KJ, Nik Nazmi - Anthony
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

JS-SEZ berpotensi jadi model pembangunan serantau, boleh diperluas ke negara jiran - Pakar

Bernama
Bernama
03/02/2026
04:10 MYT
JS-SEZ berpotensi jadi model pembangunan serantau, boleh diperluas ke negara jiran - Pakar
Dr Nungsari berkata, JS-SEZ dilihat sebagai kerangka pembangunan dua hala yang mampu mengubah pendekatan pembangunan wilayah, terutamanya melalui kerjasama langsung antara Johor dan Singapura. - Gambar fail Bernama
JOHOR BAHRU: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi menjadi model pembangunan serantau yang boleh diterapkan bersama negara jiran lain sekiranya pelaksanaannya dapat merangkumi integrasi pergerakan barangan dan logistik.
Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, JS-SEZ dilihat sebagai kerangka pembangunan dua hala yang mampu mengubah pendekatan pembangunan wilayah, terutamanya melalui kerjasama langsung antara Johor dan Singapura.
"Saya berharap inisiatif ini turut melibatkan pergerakan barangan apabila satu bentuk 'customs union' secara terhad dapat memacu pertumbuhan dengan memanfaatkan kedudukan ekonomi Johor dan Singapura," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, model pembangunan sama berpotensi diterapkan di Kedah, Perlis atau Kelantan dengan wilayah selatan Thailand, Tawau di Sabah dengan Kalimantan Timur dan Kuching di Sarawak dengan Kalimantan Barat.
Menurutnya, pendekatan pembangunan berasaskan integrasi rentas sempadan itu mampu mempercepat pertumbuhan wilayah dan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab ekonomi serantau.
Setakat ini, JS-SEZ menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan jumlah pelaburan diluluskan RM91.1 bilion setakat suku ketiga 2025, mengatasi negeri lain termasuk Selangor, iaitu RM51.9 bilion, Wilayah Persekutuan (RM45.9 bilion) dan Pulau Pinang (RM23.7 bilion).
Nungsari, yang juga Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah berkata, pembangunan wilayah Iskandar di selatan Johor selama hampir dua dekad menerima nafas baharu melalui pelaksanaan JS-SEZ yang 'merasmikan' keterlibatan Singapura secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata, integrasi Pelabuhan Tanjung Pelepas dengan pelabuhan Singapura pula berpotensi mewujudkan satu daripada hab maritim terbesar dunia.
Katanya Lapangan Terbang Antarabangsa Senai boleh dimanfaatkan melalui kerjasama lebih erat manakala Pengerang pula berpotensi beroperasi selari dengan Singapura sebagai pusat logistik dan pemprosesan hiliran minyak mentah utama dunia.
"Ini bukan sahaja melibatkan pelaburan dan pembangunan hartanah, malah pembangunan logistik bersepadu yang boleh memberi manfaat ekonomi kepada kedua-dua negara," katanya.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, JS-SEZ yang kini bergerak daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan dijangka menggabungkan kekuatan sumber dan tenaga kerja Johor dengan modal, teknologi dan rangkaian global Singapura bagi menarik pelaburan berkualiti.
Sementara itu, Provos Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, JS-SEZ dijangka memberi impak awal dalam bentuk peningkatan sentimen pelaburan khususnya dalam sektor perindustrian bernilai tinggi, logistik dan perkhidmatan sokongan.
Beliau berkata, JS-SEZ turut berpotensi mengaktifkan semula nilai ekonomi aset sedia ada seperti Forest City melalui penyepaduan ke dalam ekosistem ekonomi Johor-Singapura yang lebih produktif.
Katanya, langkah tersebut wajar dilihat sebagai usaha pembetulan struktur bagi memastikan pelaburan besar yang telah dibuat sebelum ini dapat dimanfaatkan secara optimum.
"Pendekatan ini bukan bertujuan untuk menyelamatkan mana-mana projek secara khusus, sebaliknya memastikan aset strategik negara tidak terus menjadi kos terbenam tanpa pulangan ekonomi," katanya.
Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan JS-SEZ bergantung pada kejelasan dasar, tadbir urus bersama yang cekap dan keupayaan menarik pelaburan berkualiti yang mampu menjana kesan limpahan kepada ekonomi tempatan.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#JS-SEZ
#Zon Ekonomi Khas
#johor-singapura
#pembangunan serantau
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami