BUSINESS
JS-SEZ: Buktikan manfaat kepada AS, perdagangan global - Tengku Zafrul
Tengku Zafrul berkata, Malaysia dan Singapura memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global, sekali gus meletakkan inisiatif JS-SEZ sebagai kritikal. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Dalam menangani situasi semasa, ASEAN menyokong sistem perdagangan global berasaskan peraturan dan bersetuju untuk melibatkan Amerika Syarikat tanpa tindak balas terhadap tarif yang dilaksanakan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebagai negara perdagangan, Malaysia dan Singapura memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global, sekali gus meletakkan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai kritikal dalam aspek geografi dan industri, yang akan turut memberi manfaat kepada AS.
“Kami faham bahawa setiap negara di ASEAN akan mempunyai cabaran dan kebimbangannya sendiri, jadi kami akan mendekati perkara ini di platform pelbagai hala melalui ASEAN dan platform lain yang tersedia. Pada masa yang sama, secara dua hala, kami juga terus terlibat dengan AS.
“Saya fikir ia penting bagi negara seperti Malaysia dan Singapura, yang sangat terlibat dalam bahagian kritikal rantaian bekalan global dan kita adalah ekonomi terbuka dan negara perdagangan.
“Inilah yang menjadikan JS-SEZ penting, kerana kita berada di lokasi geografi di mana rantaian bekalan yang menyokong banyak industri akan melalui kawasan ini.
“Jadi adalah penting untuk kita terus menyerlahkan perkara ini kepada semua rakan kongsi termasuk Amerika Syarikat; bagaimana Malaysia-Singapore JS-SEZ dan ASEAN serta semua boleh memainkan sebarang peranan penting dalam menyokong rantaian bekalan global, dan bagaimana ia sebenarnya akan memberi manfaat kepada dunia dan pastinya kepada AS juga,” katanya pada sesi Fostering Business Expansion And Transforming Talent and Technology dalam Forum Perniagaan Dan Pelaburan Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pada Isnin.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan persekutuan dan negeri Johor telah melaksanakan pelbagai pendekatan rentas agensi melibatkan bagi menggalakkan pembangunan bakat dan kemahiran sesuai dengan industri.
Ini termasuk kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia untuk menubuhkan Akademi Dalam Industri dan mewujudkan dana latihan bagi membantu industri memperoleh bakat yang bersesuaian dengan kemahiran yang diperlukan.
“Salah satu perbincangan diketuai oleh saya bersama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia ialah untuk membekalkan latihan yang cukup, dana untuk industri, kemudiannya (tenaga mahir) diambil bekerja.
“Kita panggil Akademi Dalam Industri, di mana kita mempunyai akademi dalam industri itu sendiri. Saya ingin menjemput syarikat yang melabur dalam JS-SEZ untuk mengambil bahagian.
“Kami akan memastikan bahawa anda bersedia untuk menyokong program kita kerana program ini seterusnya akan menyokong keperluan bakat industri. Pastinya ia bukan penyelesaian semalaman tetapi kita boleh lakukannya,” katanya lagi.