[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
BISNES

JS-SEZ: IRDA-Mizuho Bank fokus 4 bidang, sedia pembiayaan hampir AS$600 juta

Hasimi Muhamad 01/10/2025 | 11:36 MYT
Amir Hamzah yang juga Pemangku Menteri Ekonomi menambah, pemeteraian LOI itu disifatkan sebagai isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia komited untuk menjayakan JS-SEZ - Foto fail
PUTRAJAYA: Mizuho Bank (Malaysia) Berhad komited menyokong pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan menyediakan hampir AS$600 juta (kira-kira RM2.5 bilion) pembiayaan kepada pelanggan yang melabur di kawasan tersebut.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sebagai fasilitator dan Mizuho Bank sebagai rakan kewangan dipercayai, kerajaan yakin bahawa JS-SEZ mampu menarik pelaburan baharu.

Ia sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan serta mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab ekonomi serantau.

“Kerjasama antara IRDA dan Mizuho Bank akan memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu sokongan pembiayaan, promosi, penganjuran acara dan perisikan pasaran.

“Bank tersebut mengenal pasti minat pelaburan dalam sektor pemprosesan makanan dan minuman, pusat data, penjanaan tenaga, serta pembuatan berkaitan bahan kimia,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pertukaran Surat Niat (LOI) JS-SEZ antara IRDA dan Bank Mizuho di sini pada Rabu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Datuk Mohd Noorazam Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia-Pasifik merangkap Pengarah Eksekutif Kumpulan Mizuho Financial Group, Inc. dan Mizuho Bank, Ltd., Koichi Zaiki.

Amir Hamzah yang juga Pemangku Menteri Ekonomi menambah, pemeteraian LOI itu disifatkan sebagai isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia komited untuk menjayakan JS-SEZ.

Sementara itu dalam sidang media, beliau berkata JS-SEZ mencatat kemajuan memberangsangkan sejak ia dilancarkan tahun lalu, dengan pelaburan mencecah RM7 bilion dalam separuh pertama 2025.

“Selain pelaburan sedia ada, jumlah minat pelaburan yang diterima juga diunjurkan mencecah sehingga RM29 bilion bagi tempoh yang sama,” kata beliau.

Mohd Noorazam pula berkata, JS-SEZ terus menarik minat pelabur antarabangsa, khususnya dari Jepun, dalam sektor-sektor strategik bernilai tinggi.

Katanya, syarikat-syarikat terbabit menunjukkan minat yang kukuh dalam sektor farmaseutikal, bahan kimia serta produk kesihatan.

“Mereka juga merupakan antara pihak yang telah kami libatkan secara langsung dalam rundingan dan perbincangan pelaburan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Koichi memaklumkan lebih 200 syarikat Jepun telah mengambil bahagian dalam seminar yang dianjurkan pada Julai lalu bagi meneroka peluang pelaburan di JS-SEZ melalui kerjasama Mizuho Bank.

JS-SEZ merangkumi kawasan pembangunan utama seperti Iskandar Malaysia, Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dan Desaru dengan jumlah keluasan tanah sekitar 357,128 hektar.










#JS-SEZ #Amir Hamzah #IRDA #Mizuho Bank