Skip to main content

Bisnes

Jualan ada, tetapi untung ke mana? 50 usahawan Pahang belajar kira kos, manfaatkan AI

Program Bangkit Berniaga! Edisi Khas Pahang menghimpunkan 50 usahawan untuk pelatihan pemasaran, penggunaan AI dan pengurusan kewangan secara praktikal. - Foto Richworks
Program Bangkit Berniaga! Edisi Khas Pahang menghimpunkan 50 usahawan untuk pelatihan pemasaran, penggunaan AI dan pengurusan kewangan secara praktikal. - Foto Richworks

Advertisement

KUANTAN: Jualan yang meningkat tidak semestinya menjamin keuntungan jika kos perniagaan tidak dikira dengan tepat.

Persoalan itu menjadi fokus program Bangkit Berniaga! Edisi Khas Pahang yang menghimpunkan kira-kira 50 usahawan untuk mempelajari strategi pemasaran, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pengurusan kewangan secara praktikal.

Program sehari anjuran Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) dengan kerjasama RichWorks itu berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Pahang, Kuantan pada 17 Oktober lalu, bagi membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengurus serta mengembangkan perniagaan dengan lebih berkesan.

Presiden MBNP, Saharuddin Ahmad berkata, kerjasama itu bertujuan memberikan usahawan belia Pahang akses kepada kepakaran industri bagi menangani cabaran perniagaan yang semakin kompleks.

“Ramai usahawan bekerja keras untuk mendapatkan pelanggan dan meningkatkan jualan, tetapi tidak semua mempunyai kefahaman yang mencukupi tentang kos, margin keuntungan dan strategi pemasaran yang berkesan.

“Kita tidak mahu mereka sekadar sibuk berniaga tanpa mengetahui kedudukan sebenar perniagaan masing-masing,” katanya menerusi sebuah kenyataan media pada Khamis.
 

Image
RICHWORKS_RICHWORKS
Peserta didedahkan kepada kepentingan pengiraan kos sebenar, penggunaan AI dalam pemasaran dan penetapan harga jualan berdasarkan data tepat. - Foto Richworks

Menurut Saharuddin, pemilihan RichWorks sebagai rakan kolaborasi mengambil kira pengalaman organisasi yang diasaskan oleh mentor usahawan, Datuk Azizan Osman, pada 2008 itu dalam latihan dan bimbingan usahawan PMKS selama 18 tahun.

Pada sesi pagi, Ketua Pegawai Pengurusan Pelanggan RichWorks Consulting Group (RCG), Hafiz Jasmi berkongsi strategi pemasaran dan jualan, termasuk mengenal pasti prospek, membina mesej pemasaran yang tepat, mengaktifkan semula pelanggan serta menggunakan AI untuk menghasilkan kandungan dan bahan kempen.

Peserta turut menerima tiga e-buku panduan praktikal yang merangkumi 20 skrip jualan WhatsApp, 30 arahan AI untuk menghasilkan kandungan pemasaran selama 30 hari dan 30 arahan AI bagi menghasilkan poster kempen yang lebih berkesan.

Hafiz berkata, AI bukan sekadar trend teknologi, sebaliknya boleh membantu usahawan meningkatkan produktiviti dan mempercepatkan pelaksanaan pemasaran.

“AI boleh membantu pemilik bisnes menjimatkan masa menghasilkan kandungan dan merancang kempe tapi teknologi sahaja tidak mencukupi.

“Usahawan perlu memahami siapa pelanggan mereka, apakah mesej yang sesuai dan bagaimana prospek boleh ditukarkan kepada pembeli.

“Gabungan strategi yang betul dengan penggunaan AI secara praktikal boleh membantu meningkatkan keberkesanan usaha pemasaran,” tegasnya.

Pada sebelah petang, Ketua Pegawai Kewangan RichWorks, Nasrul Hadi mengendalikan sesi pengurusan kewangan yang menekankan pengiraan kos sebenar perniagaan, termasuk kos langsung dan tidak langsung, bagi membantu peserta menetapkan harga jualan berdasarkan pengiraan yang tepat dan bukannya anggaran semata-mata.
 

Image
RICHWORKS_RICHWORKS
Salah seorang peserta program Bangkit Berniaga! Edisi Khas Pahang, Nurul Faqira. - Foto Richworks

Peserta, Nurul Faqira Noorashid dari Kuantan Catering Equipment Rental berkata, sesi itu menyedarkannya tentang kepentingan mengambil kira semua kos sebelum menilai keuntungan perniagaan.

“Kadang-kadang kita rasa bisnes berjalan baik apabila jualan masuk setiap hari, tetapi sebenarnya kita tidak mengira semua kos dengan tepat.

“Sesi ini membuatkan saya sedar bahawa jualan yang banyak belum tentu bermaksud keuntungan yang tinggi.

“Selepas ini saya mahu menyemak semula kos, harga jualan dan margin keuntungan supaya bisnes lebih terurus,” jelasnya.
 

Image
RICHWORKS_RICHWORKS
Salah seorang peserta program Bangkit Berniaga! Edisi Khas Pahang, Shamsul Rizal. - Foto Richworks

Seorang lagi peserta, Shamsul Rizal Majid yang mengendalikan kedai tayar dan bengkel di Kuantan, berkata pendedahan itu turut membuka perspektif baharu tentang penggunaan AI untuk menghasilkan idea kandungan, menyusun mesej jualan dan menyediakan bahan kempen dengan lebih cepat.

Menerusi Bangkit Berniaga! Edisi Khas Pahang, MBNP dan RichWorks berharap latihan praktikal dalam pemasaran, penggunaan teknologi dan pengurusan kewangan dapat membantu usahawan belia menghadapi persaingan pasaran serta membina perniagaan yang lebih berdaya saing dan mampan.

Must Watch Video

Advertisement