BISNES

Jualan Tesla merosot 13 peratus, sentimen anti-Musk terus jejas reputasi syarikat

Agensi 03/07/2025 | 00:20 MYT
Gambar fail menunjukkan Elon Musk menaiki kereta Tesla yang diusahakan syarikatnya semasa beliau meninggalkan hotel Beijing, China pada 31 May 2023. - Gambar Reuters
NEW YORK: Jualan kenderaan elektrik Tesla mencatatkan penurunan sebanyak 13 peratus dalam tempoh tiga bulan terakhir, di tengah-tengah kempen boikot yang dikaitkan dengan pandangan politik Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk - satu perkembangan signifikan memandangkan ramai menjangka kemarahan terhadap bilionair itu akan reda.

Penurunan itu sekali lagi mencerminkan kesan berpanjangan daripada sokongan terbuka Musk terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump serta beberapa tokoh sayap kanan di Eropah, yang dilihat terus menjejaskan daya tarikan jenama Tesla di mata pengguna.

Data terbaharu ini juga dilihat sebagai petunjuk awal bahawa Tesla mungkin mencatatkan prestasi mengecewakan apabila mengumumkan laporan kewangan suku kedua pada penghujung bulan ini.

Untuk rekod, pendapatan bersih syarikat itu menjunam sebanyak 71 peratus dalam suku pertama tahun ini.

Bagi tempoh April hingga Jun, Tesla hanya menjual 384,122 unit kenderaan - berbanding 443,956 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pada tempoh yang sama, Musk secara rasmi melepaskan peranannya dalam pentadbiran Trump sebagai penasihat penjimatan kos dan ini sebelum ini telah menimbulkan harapan bahawa prestasi jualan syarikat akan pulih.

Namun begitu, saham Tesla melonjak sekitar 5 peratus pada Rabu (2 Julai) selepas syarikat itu mengumumkan telah menghantar hampir 374,000 unit model Model 3 dan Model Y sepanjang suku tersebut - angka yang melebihi jangkaan penganalisis, menurut firma data kewangan FactSet. - Agensi







#jualan Tesla #Elon Musk #sentimen anti-Musk #saham Tesla