KUALA LUMPUR: Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai dalam sistem konvensional merosot sedikit kepada RM37.72 bilion daripada RM37.89 bilion pada pagi ini manakala mudah tunai dana Islam meningkat kepada RM17.40 bilion daripada RM16.17 bilion.

Terdahulu, bank pusat menawarkan satu tender pasaran wang konvensional, dua tender Qard, dua tender repo berbalik dan satu tender Bil-bil Islam Antara Bank Bank Negara (BNIB).

Selain itu, BNM turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar untuk tempoh satu bulan dan tiga bulan.

Sementara itu, ia menyemak semula tender semalaman Murabahah kepada RM16.9 bilion daripada RM15.5 bilion.

Pada 4 petang, BNM menawarkan tender pasaran wang konvensional bernilai RM37.7 bilion dan tender pasaran wang Murabahah bernilai RM16.9 bilion, kedua-duanya bagi wang sehari.

Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus setakat 17 Okt.

-- BERNAMA