KUALA LUMPUR: Kadar antara bank jangka pendek kekal stabil hari ini selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan operasi bagi menyuntik mudah tunai ke dalam sistem kewangan.
Mudah tunai dalam sistem konvensional meningkat kepada RM48.60 bilion daripada RM45.74 bilion pagi ini manakala mudah tunai dalam dana Islam meningkat kepada RM15.50 bilion daripada RM12.57 bilion sebelumnya.
Terdahulu, bank pusat melaksanakan tiga tender repo berbalik, satu tender repo berbalik Islam dan satu tender repo berbalik semalaman.
BNM turut menyemak semula tender murabahah semalaman daripada RM13.7 bilion kepada RM15.5 bilion.
Pada 4 petang, bank pusat mengumumkan tender pasaran wang konvensional bernilai RM48.6 bilion dan tender pasaran wang murabahah bernilai RM15.5 billion, kedua-duanya untuk dana satu hari.
Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada paras 2.76 peratus setakat 29 Jun, 2026.
-- BERNAMA