KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia pada September 2022 mencatatkan 4.5 peratus, lebih rendah berbanding 4.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata perbandingan bulan ke bulan turut menunjukkan inflasi September 2022 terus menyederhana kepada 0.1 peratus berbanding 0.2 peratus pada Ogos 2022 manakala bagi tempoh Jan-Sept 2022 merekodkan kadar inflasi pada 3.3 peratus.

"Malaysia mencatatkan kadar inflasi lebih rendah bagi September 2022 berbanding dengan beberapa negara seperti Zon Euro (10.0 peratus), Amerika Syarikat (8.2 peratus), Filipina (6.9 peratus), Thailand (6.4 peratus), Indonesia (6.0 peratus) dan Korea Selatan (5.6 peratus)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustapa berkata angka inflasi pada September 2022 itu disumbangkan terutamanya oleh peningkatan inflasi kumpulan makanan yang menyederhana kepada 6.8 peratus berbanding 7.2 peratus pada Ogos 2022.

Kenaikan yang perlahan itu didorong oleh komponen makanan di rumah yang naik secara sederhana pada 5.7 peratus berbanding 6.4 peratus pada Ogos.

"Subkumpulan daging yang merangkumi ayam, daging lembu, babi, kambing, kerbau dan itik telah mencatat peningkatan lebih perlahan kepada 6.6 peratus pada September 2022 berbanding 9.9 peratus pada Ogos 2022.

"Ini terutamanya disebabkan oleh ayam, komponen terbesar dalam subkumpulan ini pada 46.1 peratus telah menyaksikan penyederhanaan kenaikan harga yang signifikan iaitu 3.7 peratus berbanding 10.7 peratus pada Ogos 2022," katanya.

Beliau berkata, walaupun kumpulan susu, keju dan telur merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 8.8 peratus pada September 2022, namun ini lebih perlahan berbanding kenaikan 9.4 peratus pada Ogos.

Telur ayam menyumbang sebanyak 22.8 peratus kepada keseluruhan wajaran subkumpulan susu dan keju serta telur telah menyederhana kepada 9.0 peratus berbanding 12.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Subkumpulan sayur-sayuran juga menyederhana dalam September 2022 pada 6.3 peratus berbanding 8.9 peratus pada Ogos.

Mustapa berkata, sayur-sayuran dan beberapa jenis ikan yang merekodkan penurunan harga bulan ke bulan adalah tomato (9.9 peratus), timun (7.8 peratus), kacang buncis (4.2 peratus), ikan selayang (3.4 peratus) dan ikan selar kuning (1.2 peartus).

Selain itu, harga maksimum minyak masak tulen kemasan botol pelbagai saiz juga merekodkan penurunan berkuatkuasa 8 Sept-7 Okt, 2022 dengan kandungan lima kilogram mencatat pengurangan terbesar kepada RM33.50 daripada RM34.70.

"Kesan daripada inisiatif ini dapat dilihat dengan jelas melalui kenaikan kecil sebanyak 4.8 peratus bagi item minyak sebatian berbanding 6.6 peratus pada Ogos 2022," katanya.

Beliau juga menyifatkan pelaksanaan harga maksimum minyak sawit botol dan penetapan paras harga siling ayam oleh kerajaan terbukti memberi impak positif dan melegakan kalangan pengguna terutama golongan peniaga daripada menampung kos bahan mentah tinggi, sekali gus dapat mengurangkan bebanan mereka.

"Walaupun Parlimen telah dibubarkan pada 10 Okt, 2022, langkah-langkah untuk mengekang kenaikan harga terus dilaksanakan demi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan," katanya.

Antara langkah dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) adalah penetapan harga siling ayam standard di peringkat runcit yang dikekalkan pada RM9.40 sekilogram manakala telur ayam gred A, B dan C masing-masing pada harga siling 45 sen, 43 sen dan 41 sen sebiji.

Kerajaan turut melaksanakan langkah pemberian subsidi sebanyak 80 sen sekilogram kepada penternak ayam yang diteruskan sehingga Disember 2022, menambah pemberian subsidi kepada 8 sen daripada 3 sen bagi sebiji telur kepada pengeluar telur ayam sehingga Disember 2022 dan pemantauan serta penguatkuasaan ke atas aktiviti kartel terutama bagi ayam dan telur ayam.

Mustapa berkata, kerajaan juga sedar mengenai pelbagai aduan di media massa, terutama isu kekurangan telur ayam gred A, B dan C bersubsidi di pasaran dan pihak MAFI dan KPDNHEP sentiasa memantaunya dan hasilnya akan dibentangkan pada Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada 25 Okt, 2022.

"Ini selari dengan usaha kerajaan untuk memastikan kadar inflasi negara terus terkawal, terutama kenaikan harga barangan makanan termasuk makanan di luar rumah dengan meningkatkan kawalan aktiviti pencatutan," katanya.

-- BERNAMA