Kadar pengangguran meningkat, ini cadangan polisi oleh WEF, ILO

Harits Asyraf Hasnan
Julai 18, 2021 08:29 MYT
Kadar pengangguran golongan muda di peringkat global meningkat 8.7 peratus pada tahun 2020 berbanding 3.7 peratus yang melibatkan golongan dewasa. - Foto Pixabay
KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran di Malaysia pada Mei 2021 merekodkan lebih 728,000 orang bersamaan 4.5 peratus, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Berbanding pada Mei tahun lalu, negara merekodkan kadar pengangguran bulanan tertinggi iaitu sebanyak 5.3 peratus dengan lebih 826,000 orang penganggur.
Namun, apa yang dilaporkan itu tidak hanya terhad kepada Malaysia sahaja.
Forum Ekonomi Sedunia (WEF) melaporkan kadar pengangguran terutamanya membabitkan golongan muda di peringkat global berada di tahap membimbangkan tatkala pandemik COVID-19 masih belum reda.
Ia apabila kadar pengangguran golongan muda meningkat 8.7 peratus pada tahun 2020 berbanding 3.7 peratus yang melibatkan golongan dewasa.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pula menegaskan, sekiranya tiada langkah wajar dilakukan dalam mengekang wabak itu, ia akan terus memberi impak kepada peluang pekerjaan golongan remaja selama berdekad lamanya.
Menurut ILO, impak ekonomi yang wujud di peringkat global pada tahun 2020 adalah 'jauh lebih teruk' daripada yang dilihat pada tahun 2009, susulan krisis kewangan global.
Kesannya telah dirasai di seluruh dunia.
Pada bulan April 2020, Amerika Syarikat (AS) misalnya mengalami kadar pengangguran tertinggi iaitu 14.8 peratus sejak ia mula direkodkan.
"Golongan remaja hari ini sudah menanggung impak krisis kewangan selama satu dekad, sistem pendidikan yang ketinggalan zaman dan krisis iklim yang teruk," memetik Laporan Risiko Global 2021, WEF.
WEF mengemukakan beberapa cadangan untuk mengatasi isu ini:
i) Utamakan polisi laksanakan bantuan pemulihan
- Penyelesaian isu ini memerlukan pemahaman teliti pelbagai kumpulan masyarakat.
- Polisi ‘one size fits all’ tidak sesuai dalam perancangan pemulihan melibatkan prospek pekerjaan golongan muda.
- Memerlukan inisiatif berteraskan polisi dan intervensi untuk membantu mereka.
ii) Menggalakkan penciptaan pekerjaan
- Merangsang pekerjaan dan keusahawanan baru, memfokuskan kepada orang muda yang paling rentan dan pastikan mereka bekerja.
iii) Pengekalan pendidikan dan latihan
- Pastikan lebih ramai anak muda belajar dan dilatih untuk mengisi jurang kemahiran yang mungkin timbul akibat pandemik.
iv) Program kemasukan semula
- Golongan muda yang kehilangan pekerjaan perlu disokong melalui perkhidmatan pekerjaan, skim keusahawanan dan program yang mensasarkan penyertaan semula.
#WEF #Forum Ekonomi Sedunia #pandemik #keusahawanan #pengangguran #kadar pengangguran #COVID-19 #ekonomi #peluang pekerjaan #impak COVID-19 #kesan COVID-19 terhadap golongan muda