Kadar pengangguran menurun pada Februari

Rizal Zulkapli
April 8, 2021 04:01 MYT
Mohd Uzir berkata, walaupun lanjutan PKP dan sekatan perjalanan antara negeri berterusan, keadaan beransur pulih sejak awal Mac 2021. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jumlah tenaga buruh pada Februari meningkat sedikit selari dengan petunjuk ekonomi yang semakin baik.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada Februari, kadar pengangguran turun kepada 4.8 peratus berbanding 4.9 peratus pada Januari.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata, ini merupakan penurunan bilangan penganggur sebanyak sekitar 5,000 orang.
Tambahnya, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua susulan penularan COVID-19 dilanjutkan sehingga 18 Feb lalu di semua negeri kecuali Sarawak, lebih banyak perniagaan dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Ini merangkumi semua segmen sektor runcit, aktiviti sukan dan rekreasi, serta perkhidmatan swasta lain, bagi memastikan kemampanan ekonomi terutamanya dalam kalangan perniagaan kecil.
Tambahan pula, program vaksinasi fasa pertama yang bermula pada 24 Feb lalu memberi sedikit kelegaan kepada perniagaan dan masyarakat.
Melihat kepada situasi tenaga buruh pada bulan Februari 2021, Mohd Uzir berkata, mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja di sektor perkhidmatan terus meningkat, terutama aktiviti perdagangan borong dan runcit, pendidikan dan kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial.
Sementara itu, pekerja dalam industri yang berkaitan dengan pelancongan kekal dalam trend menurun.
Merumuskan keseluruhan situasi tenaga buruh, beliau berkata, walaupun lanjutan PKP dan sekatan perjalanan antara negeri berterusan, keadaan beransur pulih sejak awal Mac 2021.
Tambahnya, aktiviti pendidikan yang mula dibuka semula memberi manfaat kepada aktiviti berkaitan sekolah, terutamanya perkhidmatan bas sekolah, kantin sekolah serta kedai alat tulis dan buku.
#Mohd Uzir Mahidin #Ketua Perangkawan #pengangguran #perniagaan #tenaga buruh #PKP #pelancongan #vaksinasi #perintah kawalan pergerakan #sekolah #ekonomi #pendidikan #program vaksinasi #kesihatan #COVID-19