[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
BUSINESS

Kadar tarif import AS hanya 5.6 peratus, Malaysia cari jalan penyelesaian - Tengku Zafrul

Firdaus Azil 07/04/2025 | 05:55 MYT
Tengku Zafrul berkata ia sekali gus menolak dakwaan AS bahawa kadar tarif Malaysia terhadap barangan eksport AS adalah 47 peratus. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kadar tarif Malaysia ke atas barangan yang diimport dari Amerika Syarikat (AS) adalah sekitar 5.6 peratus, berdasarkan konsep tarif Negara Paling Digemari (MFN) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia sekali gus menolak dakwaan AS bahawa kadar tarif Malaysia terhadap barangan eksport AS adalah 47 peratus, sehingga menyebabkan AS mengenakan tarif timbal balas (reciprocal tariff) 24 peratus kepada barangan eksport Malaysia.
Justeru, Tengku Zafrul berkata, MITI telah menggariskan beberapa langkah penting untuk menangani impak tarif tersebut, antaranya pengaktifan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) dan menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengumpul maklum balas pihak berkepentingan.
“MITI sedang membuat kajian impak kepada sektor-sektor eksport utama ke AS, dan NGCC akan mempertimbangkan dapatan daripada kajian tersebut semasa mesyuarat seterusnya dalam masa terdekat.
“MITI akan berjumpa dengan wakil badan-badan industri dan persatuan pengeksport, dan berlibat urus dengan kementerian dan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, BNM, MIDA, MATRADE, DOSM dan sebagainya.
“MITI akan mengambil pendekatan menyeluruh dalam mempertimbangkan pelbagai pilihan yang ada,” katanya lagi.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia komited sepenuhnya untuk mencapai solusi yang akan mengekalkan akses pasaran, menarik pelaburan asing yang berterusan, dan menyokong kesejahteraan pekerja dan perniagaan Malaysia.
Sehubungan itu, seperti yang disebut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Tengku Zafrul berkata, Malaysia tidak akan mengambil sebarang tindakan timbal balas.
Di peringkat ASEAN, Tengku Zafrul berkata, mesyuarat khas Menteri-menteri Ekonomi pada 10 April ini akan membincangkan implikasi tarif AS ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau, kestabilan makroekonomi, dan respons bersepadu ASEAN.
Selepas itu, beliau berkata, pemimpin ASEAN akan bertemu untuk membincangkan hala tuju ASEAN, bagi menangani dan mengurangkan potensi gangguan kepada perdagangan serantau, rangkaian rantaian bekalan, dan aliran pelaburan ke rantau ini.
Langkah seterusnya, kata Tengku Zafrul, ialah meneruskan penglibatan strategik peringkat tinggi dengan AS.
“Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan & Pelaburan Malaysia-AS (TIFA) akan dimanfaatkan. MITI juga akan mempertimbangkan untuk mengadakan perjanjian perlindungan teknologi, untuk melindungi eksport semikonduktor dan aeroangkasa Malaysia.
“Pengecualian sektor akan dirundingkan. Pagi ini, saya bertemu dengan Duta Besar AS (Edgard D Kagan) dan rundingan seterusnya akan dibuat,” katanya lagi.
Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga bakal meningkatkan lagi penggunaan kesemua Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) dengan Emiriyah Arab Bersatu; rundingan FTA dengan Kesatuan Eropah dan Korea Selatan.
Selain itu Malaysia akan menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) semasa tahun Kepengerusian Malaysia ASEAN, dan pelbagai perjanjian FTA lain di tahap ASEAN, termasuk dengan China dan India.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga akan meneruskan Rundingan Malaysia-European Free Trade Association (EFTA - Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland) Economic Partnership Agreement.
#tarif AS #Donald Trump #Tengku Zafrul #Malaysia