BISNES

KDNK: Ekonomi Malaysia melonjak 5.2% pada suku ketiga

Astro Awani 14/11/2025 | 04:00 MYT
Mohd Uzir (kiri) bersama Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menunjukkan laporan statistik Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku ketiga tahun 2025 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia terus berada di landasan kukuh apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, prestasi yang lebih baik berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan terbaharunya berkata pertumbuhan ini disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kekal memberangsangkan dan peningkatan ketara aktiviti pelancongan, khususnya sepanjang tempoh cuti umum dan cuti persekolahan.

Dari segi pelarasan musim, ekonomi mencatat pertumbuhan 2.4 peratus berbanding suku sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan bahawa hampir semua sektor ekonomi menunjukkan momentum positif.


Sektor Perkhidmatan, yang menjadi teras ekonomi negara, berkembang 5.0 peratus dipacu prestasi kukuh perdagangan borong dan runcit serta permintaan tinggi dalam segmen pengangkutan, penyimpanan dan hospitaliti.

Sektor Pembuatan turut mencatat pertumbuhan lebih baik pada kadar 4.1 peratus, disokong peningkatan ketara industri berorientasikan eksport seperti produk elektrik, elektronik dan optikal yang melonjak 8.4 peratus.

Industri domestik termasuk pemprosesan makanan dan produk mineral juga merekodkan pertumbuhan sederhana.

Selepas empat suku tahun penyusutan, sektor Perlombongan dan pengkuarian mempamerkan kebangkitan semula apabila melonjak 9.7 peratus, selari dengan pemulihan pengeluaran gas asli dan minyak mentah.

Sektor Pembinaan pula kekal utuh dengan pertumbuhan dua angka, mencerminkan pelaksanaan projek pembangunan yang rancak.

Perbelanjaan penggunaan akhir swasta yang merupakan penyumbang terbesar KDNK meningkat 5.0 peratus, didorong perbelanjaan lebih tinggi dalam restoran, hotel dan pengangkutan, selari pemulihan berterusan sektor pelancongan.

Eksport bersih juga kembali meningkat apabila pertumbuhan eksport mengatasi import.

Malaysia turut mencatat kejayaan penting di peringkat global selepas buat pertama kali menduduki tangga teratas laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, melonjak daripada kedudukan ke-67 pada penilaian sebelumnya sekali gus satu pengiktirafan terhadap kemajuan ketelusan data negara.








#Mohd Uzir Mahidin #KDNK #pertumbuhan ekonomi Malaysia #perbelanjaan isi rumah