BUSINESS
KDNK Malaysia catat pertumbuhan 4.4 peratus suku pertama 2025
Abdul Rasheed (kanan) pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2025 di sini, pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025, sedikit perlahan berbanding 4.9 peratus pada suku keempat 2024.
Ringkasan AI
- Pertumbuhan Ekonomi Malaysia: KDNK Malaysia meningkat 4.4% pada suku pertama 2025, sedikit perlahan berbanding 4.9% pada suku sebelumnya, sejajar dengan jangkaan pakar ekonomi.
- Faktor Penyumbang & Cabaran: Pertumbuhan didorong oleh permintaan dalam negeri yang stabil serta pasaran buruh yang positif, namun eksport perlombongan yang merosot menjejaskan prestasi sektor luaran.
- Impak Terhadap Sektor Lain: Sektor perkhidmatan dan perkilangan terkesan akibat penurunan penjualan kenderaan bermotor, sementara import terus berkembang dengan permintaan tinggi untuk barangan modal.
Ia adalah sejajar dengan jangkaan pakar ekonomi yang sebelum ini meramalkan penyederhanaan pertumbuhan ekoran kelembapan dalam sektor perlombongan dan pembuatan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ia didorong terutamanya oleh pengembangan permintaan dalam negeri yang stabil.
Menurutnya, sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, Malaysia tidak dapat mengelak daripada terkesan secara langsung atau tidak langsung tarif perdagangan.
Namun beliau memberitahu, perbelanjaan isi rumah kekal kukuh disebabkan pasaran buruh yang positif dan pelaksanaan dasar berkaitan pendapatan seperti semakan gaji minimum serta kenaikan gaji penjawat awam.
Malah pelaburan juga kekal stabil sejajar dengan pelaksanaan projek-projek baharu dan sedia ada.
Bagaimanapun, kata beliau, sektor luaran mencatatkan pertumbuhan eksport yang lebih perlahan, dipengaruhi penurunan eksport perlombongan.
“Keadaan ini sebahagiannya diimbangi eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih kukuh berikutan aktiviti eksport yang dipercepat (front-loading activities) dan aktiviti pelancongan yang terus meningkat.
“Pada masa yang sama, pertumbuhan import, meskipun lebih sederhana, terus didorong oleh permintaan yang kukuh untuk barangan modal. Hal ini mencerminkan aktiviti pelaburan dan perdagangan yang berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2025 di sini, pada Jumaat.
Namun begitu, Abdul Rasheed berpendapat, penjualan dan pengeluaran kenderaan bermotor yang kembali menurun selepas prestasi yang kukuh sepanjang tiga tahun yang lalu memberikan kesan terhadap pertumbuhan sektor perkhidmatan dan perkilangan.
Menurutnya, secara keseluruhan, pertumbuhan turut terjejas oleh penguncupan dalam sektor perlombongan berikutan pengeluaran minyak dan gas yang lebih rendah.
Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 0.7 peratus (S4 2024: -0.2 peratus).