Firma pelaburan Capital Dynamics Sdn Bhd menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sekitar 3.5 peratus hingga 4.0 peratus pada tahun ini berikutan pelbagai cabaran luaran.

Pengarah Urusannya Tan Teng Boo berkata ekonomi Malaysia pada tahun ini juga dilihat bergelut mengharungi kesukaran akibat faktor luaran yang berlaku secara serentak.

"Tiada satu punca khusus terhadap penyusutan FTSE Bursa Malaysia KLCI atau pun KDNK Malaysia. Ini semua berpunca daripada faktor-faktor seperti perang perdagangan Amerika Syarikat-China, isu Brexit, rusuhan di Hong Kong, kebakaran belukar di Australia, pertelingkahan Korea Selatan-Jepun dan penularan COVID-19.

"Sudah pasti, kesemua faktor itu menyebabkan prestasi KDNK bagi suku pertama ini tidak begitu menarik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena penganjuran program syarikat itu bertajuk "Latest Investment Outlook" yang akan diadakan pada 7 Mac ini.

Tan juga optimis penularan COVID-10 itu berkemungkinan besar akan mencecah tahap kemuncaknya tidak lama lagi iaitu sama ada bulan ini atau bulan depan memandangkan kadar pemulihannya telah mencatat momentum ketara dengan 14,689 kes berjaya dipulihkan di peringkat global, setakat ini.

Malah, China diunjurkan kembali stabil daripada jangkitan itu dengan ekonomi juga pulih apabila penularan itu mencecah paras kemuncaknya.

"China sudah lama menjadi sumber terbesar pertumbuhan ekonomi global sejak 15-20 tahun lepas. Jika ekonomi China pulih lebih cepat, ini pasti memberi rangsangan kepada KDNK Malaysia," katanya.

Di peringkat tempatan, beliau berkata masih banyak usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing termasuk mengetengahkan hala tuju jelas mengenai masa depan politik negara serta dasar ekonomi bagi jangka panjang.

Malah, katanya, dua isu terbabit jelas menjadi halangan utama bagi pelaburan langsung asing ke Malaysia berbanding negara jiran seperti Vietnam, Singapura dan Indonesia.

"Dalam persekitaran berhati-hati yang menyelubungi ekonomi global, Malaysia sebaliknya tidak memaparkan alasan kukuh untuk menarik pelabur asing berada di sini," katanya.

Sementara itu, pada majlis hari ini, Capital Dynamics turut melancarkan inisiatif "Aid Xinyang" bagi membantu bandar tersebut menangani COVID-19 memandangkan kebanyakan sumber hanya bertumpu kepada Wuhan yang jugat pusat penularan itu.

Xinyang yang didiami tujuh juta penduduk, hanya mempunyai sembilan hospital bagi merawat COVID-19.

Menurut Tan, inisiatif itu bertujuan membantu dari segi penyediaan perubatan seperti penutup hidung jenis N95, pakaian perlindungan diri dan cermin mata manakala sumbangan kewangan untuk membantu pembelian bekalan perubatan atau disalurkan kepada dua organisasi utama seperti Palang Merah dan Pusat Pertubuhan Kebajikan Xinyang.



-- BERNAMA