KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026 yang mengatasi jangkaan pasaran.
Anwar berkata, prestasi itu dicatat ketika ekonomi dunia semakin perlahan susulan krisis bekalan global dan pergolakan di Asia Barat.
“Alhamdulillah, tatkala ekonomi dunia semakin perlahan akibat krisis bekalan global dan pergolakan di Asia Barat, angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara dicatat melonjak sebanyak 6 peratus pada suku kedua 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar, kadar pertumbuhan itu sekali gus mencatat prestasi pertumbuhan suku kedua paling kukuh di luar tempoh pandemik sejak 2014.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas teruk akibat tempias inflasi global.
Antaranya termasuk BUDI MADANI, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain usaha mengawal harga serta memastikan bekalan terus mencukupi.
“Saya menginsafi bahawa masih banyak yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI untuk memastikan bukan sahaja momentum pertumbuhan ini kekal lestari, tetapi kekayaan dan kemajuan negara dapat dikecapi bersama oleh seluruh rakyat,” katanya.
Anwar berkata, ia perlu diterjemahkan menerusi pendapatan lebih bermakna, peluang pekerjaan bermutu serta bantuan kepada golongan rentan.
Awal pagi hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, meningkat daripada 5.4 peratus pada suku pertama.
Menurut BNM, pertumbuhan itu didorong permintaan domestik yang berterusan dan eksport yang kukuh, manakala perbelanjaan isi rumah disokong pertumbuhan pendapatan yang stabil serta sokongan dasar berterusan.
Eksport pula dipacu antaranya oleh kekuatan produk elektrik dan elektronik (E&E), pengembangan eksport perkhidmatan serta pemulihan eksport gas asli cecair (LNG) dan produk pembuatan bukan E&E.
Sektor perkhidmatan berkembang 5.9 peratus, manakala sektor pembuatan mencatat pertumbuhan 7.3 peratus, dengan prestasi E&E disokong permintaan kukuh berkaitan kecerdasan buatan (AI).
BNM mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2026, dengan perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan keseluruhan tahun boleh berada sekitar 5 peratus.