KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) susut hari ini selepas anggaran eksport menunjukkan aliran menurun.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata "perubahan mendadak" dalam prestasi eksport Malaysia kepada negatif bagi Ogos menyebabkan sentimen pembeli berubah hambar.

Terdahulu, Intertek Testing Services (ITS) menganggarkan eksport 1 hingga 20 Ogos meningkat 9.78 peratus kepada 827,975 tan. Sekarang, ITS menyaksikan cetakan 1 hingga 25 Ogos susut 7.82 peratus kepada 974,235 tan.

AmSpec pula mengunjurkan eksport berada pada 945,155 tan, turun 4.28 peratus daripada bulan lepas.

"Semua mata kini tertumpu kepada jangkaan pengeluaran bulan penuh minggu ini oleh Persatuan Pengilang Minyak Sawit Selatan Semenanjung, UOB Kay Hian dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, sentimen kenaikan harga di pasaran China berikutan ancaman anggaran kerugian tanaman minyak sayuran yang lebih besar akibat banjir di wilayah Hunan telah melonjakkan pembelian minyak sawit, mengimbangi prestasi eksport niaga hadapan MSM untuk 1 hingga 25 Ogos yang tidak bermaya.

Faktor sokongan tambahan lain termasuk momentum menaik dalam minyak soya Lembaga Perdagangan Chicago dan minyak kacang soya mentah pasaran bebas Amerika Selatan selain impak pengukuhan harga minyak mentah dan keadaan tidak menentu dalam pasaran minyak bunga matahari Laut Hitam.

Sementara itu, kontrak September 2023 susut RM60 kepada RM3,800 satu tan, Oktober 2023 jatuh RM61 kepada RM3,876 dan November 2023 merekodkan kerugian RM52 kepada RM3,910.

Disember 2023 merosot RM43 kepada RM3,939 satu tan manakala Januari 2024 serta Februari 2024 masing-masing kehilangan RM37 kepada RM3,964 dan RM3,977 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 44,063 lot berbanding 62,131 lot yang disaksikan semasa Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 199,274 kontrak daripada 200,992 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi September Selatan turun sebanyak RM30 kepada RM3,850 satu tan daripada RM3,880 satu tan.

-- BERNAMA