Skip to main content

Bisnes

Kelab pembekal Honda Malaysia sokong dasar EV MITI yang berteras pembangunan

Sumber: BERNAMA
Kelab Pembekal Honda Malaysia berkata, inisiatif MITI menunjukkan keutamaan yang selaras dalam kalangan pihak berkepentingan seperti agensi awam, swasta dan antarabangsa.

KUALA LUMPUR: Langkah yang diambil oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenai cadangan pelaburan BYD memperlihatkan pendekatan yang berkaliber bagi mengimbangkan pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan kenderaan elektrik (EV) dengan kepentingan negara.

Presiden Kelab Pembekal Honda Malaysia, Kam Cheong Loong dalam kenyataan berkata, inisiatif itu menunjukkan keutamaan yang selaras dalam kalangan pihak berkepentingan seperti agensi awam, swasta dan antarabangsa.

Advertisement

"Persatuan ini menyifatkan keputusan kerajaan sebagai keputusan yang menekankan semula dasar penghematan dan pertimbangan dalam aspek sedemikian," katanya.

Baru-baru ini pengeluar EV dari China, BYD dilaporkan sedang menilai semula rancangan membina kilang pemasangan tempatan (CKD) di Tanjung Malim, Perak dengan dakwaan kerajaan mengenakan syarat tidak memihak kepada syarikat itu.

Sehubungan itu, MITI menafikan telah mengenakan syarat yang tidak memihak atau diskriminasi terhadap pengeluar kereta, dengan menekankan matlamat untuk memastikan kapasiti pemasangan tempatan bergerak ke arah segmen pasaran mampan dan bernilai tinggi serta mengelakkan penyingkiran ekosistem vendor sedia ada.

Menurut kementerian, syarat itu tidak khusus kepada BYD, sebaliknya syarat sama turut dikenakan kepada mana-mana kemasukan baharu CKD.

Dalam pada itu, Kam menekankan kepentingan untuk pengeluar automotif tempatan dan pengeluar dari luar negara untuk menilai semula kerangka perolehan masing-masing bagi mewujudkan hubungan erat dengan vendor serta sektor bekalan yang kukuh dalam semua kategori.

“Persatuan kami menyokong pengeluar automotif yang berkhidmat selaras dengan dasar MITI misalnya Honda Malaysia, yang komited untuk terus memperluas penggunaan komponen tempatan bagi pertumbuhan ekosistem vendor kita.

“Dengan cara ini, persatuan kami akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan pertumbuhan yang berterusan dan kemampanan sektor ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video